PBB gesa Taliban henti tindas wanita

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Hampir 12 negara anggota Majlis Keselamatan PBB kelmarin mendesak Taliban menamatkan layanan penindasan terhadap wanita di Afghanistan ketika pemerintah berkenaan meneruskan langkah mengetatkan sekatan.

Taliban merampas kuasa pada Ogos 2021 dan menjanjikan versi lebih lembut berbanding pemerintahan mereka dari 1996 hingga 2001 yang didakwa dicemari pencabulan hak asasi manusia.

Bagaimanapun, Taliban didakwa masih menekan wanita dalam hampir semua aspek kehidupan awam dengan baru-baru ini, melarang mereka mendapatkan pendidikan menengah dan tinggi, sektor awam dan daripada melawat taman serta rumah mandi awam.

“Kami menggesa Taliban supaya segera menarik semula semua langkah penindasan terhadap wanita dewasa dan anak gadis,” kata Duta Jepun ke PBB, Ishikane Kimihiro yang bercakap bagi pihak 11 anggota Majlis Keselamatan.

Anggota majlis berkenaan termasuk Albania, Brazil, Ecuador, Perancis, Gabon, Jepun, Malta, Switzerland, Emiriyah Arab Bersatu, Britain dan Amerika Syarikat.

Kesemua negara anggota itu mendesak Taliban menghormati hak wanita dewasa dan anak gadis serta penyertaan penuh dan bermakna mereka secara inklusif dalam semua aspek masyarakat di Afghanistan daripada politik dan ekonomi hinggalah kepada pendidikan dan aktiviti awam.

Kenyataan tersebut menyebut secara langsung mengenai pengasingan wanita daripada sekolah menengah dan universiti serta larangan badan bukan kerajaan (NGO) menggaji wanita Afghanistan.

“NGO-NGO tidak akan dapat sampai kepada mereka yang paling memerlukan khususnya wanita dan anak gadis untuk menyalurkan bantuan penyelamatan hidup dan perkhidmatan,” kata kenyataan sama.

Sebilangan kumpulan antarabangsa telah menggantung khidmat mereka di Afghanistan kerana larangan tersebut yang diumumkan oleh pemerintah Taliban pada 24 Disember tahun lalu. Bagaimanapun, PBB menyatakan, agensi-agensinya akan meneruskan kerja mereka di Afghanistan. –AFP

The post PBB gesa Taliban henti tindas wanita appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*