PBT Tidak Pernah Benar Warga Asing Mohon, Miliki Lesen Perniagaan – Nga

pbt warga asing

PBT Tidak Pernah Benar Warga Asing Mohon, Miliki Lesen Perniagaan – Nga

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen premis perniagaan kedai runcit, kedai makan dan di pasar awam.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kelulusan sewaan tapak pasar awam dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja manakala warga asing yang bekerja dengan penyewa tapak pasar awam tersebut perlu mempunyai pas kerja yang sah.

“PBT tidak akan berkompromi dengan mana-mana tindakan penyalahgunaan lesen tapak pasar oleh penyewa tempatan dan lesen sewaan tapak tersebut akan ditarik balik. Operasi penguatkuasaan premis sentiasa dilaksanakan oleh PBT bagi mengekang isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Nga berkata sebarang tindakan penahanan warga asing atau pendatang tanpa izin merupakan bidang kuasa dan pengurusan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru, beliau berkata Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju dengan syor mengenai koordinasi strategik antara beberapa kementerian supaya dapat menyelesaikan isu aduan rakyat secara tuntas dan berkesan.

BACA: Hadiri Kursus Kesedaran Sivik Sebelum Ambil Kunci Rumah PPR – NGA

“KPKT juga akan sentiasa bersedia membantu dalam memudah cara isu aduan yang berlaku di luar sempadan kawasan operasi PBT,” katanya.

Dalam sesi penggulungan tersebut, Nga turut memaklumkan bahawa KPKT menyokong usaha dan peranan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mempergiat program anjing angkat dan menguar-uarkan ‘etika pemilikan anjing bertanggung jawab’.

Beliau berkata ia bagi membendung isu pembuangan anjing peliharaan yang boleh mencetuskan aduan kacau ganggu kepada orang awam.

Katanya KPKT juga telah menyediakan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan PBT secara kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan NGO yang berkaitan dan telah diguna pakai oleh semua PBT sejak 2014.

“SOP ini menetapkan bahawa tempoh tahanan bagi anjing terbiar yang ditangkap adalah selama tujuh hari untuk anjing berlesen dan dua hari untuk anjing tidak berlesen sementara menunggu anjing tersebut dituntut oleh tuan punya atau diserah kepada orang awam atau NGO untuk program anjing angkat,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post PBT Tidak Pernah Benar Warga Asing Mohon, Miliki Lesen Perniagaan – Nga appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*