Pelakon Dan Ahli Politik Veteran Tamil Vijayakanth Meninggal Dunia

pelakon tamil Vijayakanth Meninggal Dunia

Pelakon Dan Ahli Politik Veteran Tamil Vijayakanth Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Pelakon dan ahli politik veteran Tamil Vijayakanth atau lebih dikenali sebagai “Kapten” dalam kalangan peminatnya, meninggal dunia pagi ini di sebuah hospital swasta di Chennai, India.

Pelakon berusia 71 tahun itu menjalani rawatan radang paru-paru (pneumonia) sejak 20 Nov dan juga disahkan positif COVID-19.

Beberapa portal berita India melaporkan mendiang bergantung kepada alat bantuan pernafasan sebelum pemergiannya.

Vijayakanth, yang membuat penampilan sulung dalam filem “Inikkum Ilamai” pada tahun 1979, membintangi 154 filem dan dianggap seangkatan dengan pelakon veteran Tamil Rajinikanth dan Kamal Haasan.

Beliau amat terkenal dengan peranannya sebagai penduduk kampung yang baik hati dan pegawai kanan polis dalam filem seperti “Chinna Gounder” (1991), “Thavasi” (2001), dan “Narasimha” (2001).

Sebagai tambahan kepada kerjaya filemnya, seperti kebanyakan idola skrin Tamil lain, Vijayakanth menceburi bidang politik dengan mengasaskan Desiya Murpokku Dravida Kazhagam (DMDK) pada tahun 2005.

Mendiang telah dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Tamil Nadu sebanyak dua kali dan menyandang jawatan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri dari 2011 hingga 2016.

Mendiang muncul sebagai kuasa penting dalam politik Tamil Nadu, mencabar tokoh-tokoh hebat seperti J. Jayalalitha dan M. Karunanidhi.

Pelakon itu sering dipuji kerana usahanya menghidupkan semula ‘Nadigar Sangam’ (Persatuan Seniman India Selatan) ketika ia bergelut dengan hutang besar.

Beliau menganjurkan beberapa persembahan di luar negara, termasuk di Singapura dan Malaysia, untuk mengumpul dana bagi persatuan itu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Vijayakanth telah menarik diri daripada aktif berpolitik kerana kesihatannya yang semakin merosot.

Penampilan terakhirnya di khalayak ramai ialah pada 14 Dis, semasa mesyuarat DMDK dengan isterinya, Premalatha, yang dilantik sebagai setiausaha agung parti itu.

Vijayakanth meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki.

BACA: Lama Perhati, Kenapa Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’? Ini Puncanya

Sumber: Bernama

The post Pelakon Dan Ahli Politik Veteran Tamil Vijayakanth Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*