Pelancaran Surau Bergerak JAWI 2.0

Surau Bergerak JAWI 2.0

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama rakan strategik melancarkan Surau Bergerak JAWI 2.0 sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan JAWI di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya. Majlis Perasmian disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Turut hadir YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI.

Sebelum ini JAWI dan Bank Rakyat telah menggerakkan insiatif Surau Bergerak pada tahun 2018 bagi menyediakan kemudahan yang selesa kepada umat Islam menunaikan kewajipan solat terutama ketika menghadiri program-program berskala besar yang dianjurkan di kawasan terbuka dengan kehadiran ramai pengunjung.

Susulan sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak terhadap perkhidmatan ini, JAWI sekali lagi berkolaborasi dengan syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad bagi melaksanakan pengubahsuaian sebuah bas dua tingkat untuk dijadikan Surau Bergerak kedua yang bukan sahaja boleh digunakan untuk menunaikan solat tetapi berfungsi sebagai sudut aktiviti keagamaan dan dakwah bergerak. 

Surau Bergerak JAWI 2.0

Bas dua tingkat bernilai RM350,000 disumbangkan oleh syarikat Konsortium E-Mutiara manakala kos pengubahsuaian disumbangkan oleh CIMB Islamic Bank Berhad dan individu melalui zakat wakalah berjumlah RM200,000. Inisiatif terbaharu tersebut juga dilancarkan bagi menyahut saranan membudayakan inovasi dan kreativiti dalam pentadbiran dan pengurusan masyarakat Islam selaras dengan maqasid Syariah dan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) yang mendokong agenda pembangunan khaira ummah. Bas pelbagai guna ini akan menjadi elemen ikonik dalam memperkukuh hubungan JAWI dengan masyarakat di Wilayah Persekutuan.

Surau Bergerak JAWI 2.0 mampu menampung kapasiti seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa serta memiliki ruang solat dengan kemudahan seperti karpet, sejadah, telekung, pembesar suara, dan penyaman udara. Bahagian penumpang bas berkenaan diubah suai menjadi ruang solat dan aktiviti yang selesa manakala tempat penyimpanan barang diubahsuai bagi penyimpanan bekalan air dan paip untuk mengambil wuduk. 

Surau Bergerak JAWI 2.0

Surau Bergerak JAWI 2.0 akan ditempatkan di beberapa lokasi seperti tapak pasar malam dan bazar yang dikenalpasti sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kemudahan masyarakat terutama menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri. Selain itu, bas berkenaan juga terlibat dalam aktiviti turun padang  bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui program Musa’adah dan JAWI Food Bank. 

The post Pelancaran Surau Bergerak JAWI 2.0 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*