Pemandu Bezza Miliki 11 Rekod Lampau, Peralatan Tajam

pemandu bezza 11 rekod lampau

Pemandu Bezza Miliki 11 Rekod Lampau, Peralatan Tajam

Pemandu Perodua Bezza yang dikejar lebih 20 buah kereta peronda polis akibat melarikan diri daripada pemeriksaan dari Petaling Jaya menghala ke Cyberjaya pada malam tadi dilaporkan mempunyai 11 rekod lampau , lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya turut menemukan sebilah pisau, sepasang gunting, sepasang sarung tangan, sebuah topi keledar, sekeping kad pengenalan individu lain dan empat keping kad debit selepas pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata 11 rekod yang dinyatakan antaranya enam melibatkan kesalahan jenayah dan empat melibatkan kesalahan dadah, manakala satu rekod masih dikehendaki bersabit kesalahan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata, manakala wanita itu pula tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Terdahulu, polis telah menahan dua individu selepas mengejar mereka kira-kira 50 kilometer, selepas lari dari pemeriksaan di Jalan Utara, Petaling Jaya, Kuala Lumpur.

Kedua-dua suspek iaitu pemandu lelaki kereta jenis Perodua Bezza berumur 27 dan penumpang wanita berusia 21 tahun, akhirnya ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang.

Mohd Fakhrudin berkata kejadian pada 1.42 pagi itu, sebanyak 28 buah kereta unit peronda polis dari empat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu IPD Sepang, IPD Serdang, IPD Subang Jaya dan IPD Petaling Jaya, ditugaskan untuk mengekori suspek.

BACA: Polis Kejar Bezza: Lelaki & Wanita Ditahan Dalam Insiden Kejar-Mengejar Dari PJ Ke Cyberjaya

Ujarnya, alam kejadian itu, seorang anggota daripada unit rondaan bermotosikal cedera akibat dirempuh, semasa cuba menahan kereta suspek di Jalan PJS 6/1 Sungei Way, Petaling Jaya.

Beliau berkata kedua-dua suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mohd Fakhrudin berkata kes ini juga telah dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahaya sehingga menganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah serta mereka yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini, boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.

Sumber: BERNAMA / Polis Daerah Petaling Jaya

The post Pemandu Bezza Miliki 11 Rekod Lampau, Peralatan Tajam appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*