Pemandu ubah haluan mengejut hingga sebabkan kemalangan disaman

IPOH: Polis mengeluarkan saman ke atas pemandu kereta terlibat kemalangan membabitkan motosikal penghantar makanan dekat Jalan Kuala Kangsar di sini, yang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, saman bagi kesalahan memotong dengan cara bahaya itu dikeluarkan ke atas wanita berusia 44 tahun selepas laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat semalam.

“Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku kelmarin (Jumaat) pada pukul 7.35 petang di jalan menghala Chemor selepas lampu isyarat antara Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Sultan Azlan Shah.

“Semasa kejadian, pemandu kereta jenis Wira Aeroback didapati telah mengubah haluan dari tengah ke lorong kiri secara mengejut.

“Tindakan pemandu kereta tersebut mengakibatkan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 30 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, akibat pelanggaran itu mangsa mengalami kecederaan di bahu kanan, luka di lutut, siku dan muka manakala pemandu kereta tidak cedera.

Katanya, mangsa yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah dibenarkan pulang ke rumah.

“Saman telah pun dikeluarkan terhadap pemandu terbabit dan kes disiasat di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana memotong dengan cara bahaya,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial klip video rakaman kemalangan berdurasi 26 saat yang memaparkan seorang penghantar makanan tercampak di atas jalan selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta yang menukar lorong secara tiba-tiba. – UTUSAN

The post Pemandu ubah haluan mengejut hingga sebabkan kemalangan disaman appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*