Penahanan Kapal Tangki Memindah Minyak Secara Haram: APMM Terima Penghargaan BAKAMLA

PUTRAJAYA, 14 Julai – Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) menyampaikan surat penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) atas kerjasama yang diberikan agensi ini dalam operasi penahanan sebuah kapal tangki berbendera Iran, MT Arman 114, yang didakwa terlibat dalam aktiviti pemindahan haram minyak mentah di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Mariitm Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid bin Hj Mohd Amin berkata, pada kejadian minggu lalu, BAKAMLA telah memohon bantuan Maritim Malaysia bagi melakukan tindakan kejar buru dalam operasi menahan kapal suspek setelah mendapati telah berlaku aktiviti pemindahan minyak yang mencurigakan kepada kapal MT S Tinos berbendera Cameroon setelah kapal berkenaan melepasi sempadan perairan republik tersebut seterusnya memasuki Zon Maritim Malaysia.

Bertindak kepada maklumat yang diterima, Maritim Malaysia telah mengatur gerak sebuah pesawat udara yang membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia ke lokasi yang telah dikenalpasti dalam perairan Malaysia.

Dalam tindakan kejar buru itu, kru helikopter AW 139 Maritim Malaysia telah berjaya melakukan pintasan terhadap kapal tangki yang terlibat, seterusnya tujuh anggota STAR TEAM telah melakukan fast roping di atas kapal suspek bagi tindakan penguatkuasaan selanjutnya.

Kapal tangki tersebut disyaki melakukan pelanggaran peraturan maritim antarabangsa dan menyalahi peraturan Indonesia yang dipercayai membawa lebih 200 ribu tan metrik minyak mentah bernilai puluhan juta dolar.

Setelah pemeriksaan dilakukan, anggota-anggota STAR Team turut berjaya menahan 28 anak kapal warga Syria dan tiga penumpang lain.

Tindakan kerjasama bersepadu antara BAKAMLA Indonesia dan Maritim Malaysia ini menunjukkan keberkesanaan kerjasama yang dijalinkan sejak sekian lama melalui latihan bersama di kawasan perairan Selat Melaka.

Kejayaan operasi ini turut membuktikan kerjasama antara negara Malaysia-Indonesia dalam memastikan keamanan dan keselamatan di perairan wilayah masing-masing seterusnya memberikan keyakinan kepada kapal-kapal dagang melalui kawasan ZEE dengan selamat, seterusnya menyumbang kepada kestabilan maritim serantau.

Melalui kejayaan operasi tersebut, diyakini kerjasama yang lebih kukuh di antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA akan terus dipertingkatkan dalam memerangi ancaman jenayah di kawasan perairan yang melibatkan negara-negara serantau.

The post Penahanan Kapal Tangki Memindah Minyak Secara Haram: APMM Terima Penghargaan BAKAMLA appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*