Pencuri Merayu Dipenjarakan, Nak Lari Dari Kekejaman Dunia

mencuri sebab mahu masuk penjara

Pencuri Merayu Dipenjarakan, Nak Lari Dari Kekejaman Dunia

Seorang lelaki di Thailand yang ditahan mencuri baru-baru ini dilapor merayu kepada polis supaya dia dipenjarakan.

Memetik The Thaiger, dalam kejadian yang berlaku pada 15 Februari lepas, suspek membuat rayuan itu kerana mahu lari daripada kekejaman dunia.

Portal itu berkata, polis dari Balai Polis Bang Pakong pada mulanya menerima laporan kecurian di sebuah kedai kitar semula di daerah tersebut.

Bertindak atas laporan berkenaan, polis kemudian segera menuju ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di sana, polis menemui sepasang suami isteri yang berjaya menahan seorang lelaki, iaitu suspek yang didakwa melakukan jenayah itu.

Menurut pemilik kedai tersebut, suspek adalah pelanggan mereka dan sering datang ke kedai itu untuk menjual barangan kitar semula.

Namun pemilik kedai itu mula curiga dengan suspek dan menyedari ada barang yang cuba dijual suspek sebenarnya adalah barangan yang hilang dari kedai berkenaan.

Mereka mengesyaki suspek cuba menjual semula barangan yang dicuri daripada kedai tersebut.

Perbuatan suspek terbongkar selepas pemilik kedai memeriksa kamera CCTV yang dipasang di kedai berkenaan.

Mencabar mangsa untuk melaporkan kejadian itu

Suspek yang menjadi berang apabila tindakannya dapat dihidu segera mencabar pemilik kedai itu agar membuat laporan kepada polis.

Menurut The Thaiger lagi, ketika pemilik kedai sedang menghubungi polis, suspek kemudian merampas seutas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap semula kira-kira 1 kilometer dari kedai berkenaan.

Sewaktu polis tiba di tempat kejadian, suspek menangis dan mendakwa bahawa dunia berlaku kejam padanya sehingga terpaksa mencuri.

Suspek mendakwa bahawa dia ingin masuk ke penjara agar dapat melarikan diri dari masalah yang dihadapinya.

Sambil menangis, suspek kemudian mendedahkan realiti yang dihadapinya.

Walaupun ibu bapanya mengajar dia menjadi orang baik, dia mendakwa mereka juga terlibat dalam jenayah dan memintanya supaya menyembunyikan perkara tersebut.

Apabila dia cuba melaporkan jenayah tersebut kepada pihak berkuasa, ahli keluarganya tidak menyokong termasuk isterinya.

Suspek turut mendakwa ibu bapa termasuk isteri cuba memberi justifikasi bahawa apa yang mereka lakukan adalah cara mereka mencari rezeki. Mereka kemudian memaksa dia menerima kenyataan itu atau bersedia untuk dipenjara.

Merasa terabai dan berputus asa, dia kemudian mula terlibat dalam kegiatan mencuri. Suspek juga mendakwa ahli keluarganya merasa akan lega apabila dia ditangkap.

Walaupun memiliki jalan cerita hidup yang unik, suspek tetap berdepan dengan hukuman atas kesalahan yang dilakukannya.

Jika didapati bersalah, suspek berdepan dengan hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda 100,000 hingga 200,000 Baht.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: The Thaiger

The post Pencuri Merayu Dipenjarakan, Nak Lari Dari Kekejaman Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*