Penganjur sukan permotoran digesa patuh SOP, elak kejadian berulang

IPOH – Semua penganjur sukan permotoran digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian kemalangan mengorbankan seorang penonton di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah berulang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang penganjuran acara sukan itu perlu mendapatkan kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

Katanya, PJS dan MAM yang merupakan badan induk sukan permotoran akan menetapkan syarat-syarat dan SOP yang perlu dipatuhi penganjur sepanjang acara berlangsung.

“Saya tertanya-tanya adakah sepatutnya mangsa berada di situ kerana biasanya di kawasan litar, hanya mereka yang bertugas dibenarkan masuk termasuk juruteknik, marsyal dan juga jurugambar yang telah ditetapkan tempat untuk menunggu.

“Program atau sukan-sukan berpotensi untuk kemalangan biasanya akan ada SOP yang sangat ketat, tapi macam mana hari itu, mangsa berada di tengah padang (tepi litar), ini satu persoalan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Insentif Kepada Kontinjen Para Sukan Malaysia XX (Para Sukma XX) di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang menunggu siasatan dan laporan penuh daripada agensi berkaitan termasuk polis berhubung insiden berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan penuh MAM dan pihak berkuasa seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk kita mengetahui sama ada penganjuran itu telah mendapat kelulusan atau tidak.

“Kalau ada kebenaran, pesuruhjaya sukan akan meletakkan syarat dan SOP yang perlu dipatuhi. Jadi saya tidak pasti sama ada penganjur itu mempunyai kebenaran untuk menganjurkan acara berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, mangsa, Muhammad Amir Mohd. Yusoff, 32, maut selepas dirempuh sebuah kereta Proton Satria ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah. – KOSMO! ONLINE

The post Penganjur sukan permotoran digesa patuh SOP, elak kejadian berulang appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*