Penghuni Pangsapuri Atlantis kesal, wang pampasan tidak dipulangkan

MELAKA: Pemilik unit Pangsapuri Atlantis, Kota Syahbandar dekat sini kesal dengan kegagalan ejen pengurusan untuk memulangkan semula wang pampasan berjumlah RM42,930, seperti diputuskan Mahkamah Tribunal Pengurusan Strata Muar, Johor pada 24 November lalu.

Wakilnya, James Khoo berkata, jika ejen terbabit masih berdegil untuk menjelaskan bayaran tersebut, satu laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bakal dibuat dalam masa terdekat.

Malah katanya, dia tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Mahkamah telah memutuskan pembayaran pampasan yang dibuat kepada ejen terbabit pada 8 Februari tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal kerana tidak dibuat atau diluluskan seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pengurusan Strata 2013.

“Mahkamah memutuskan wang tersebut hendaklah dipulangkan semua ke akaun penyelenggaraan pangsapuri terbabit dalam masa 30 hari dari tarikh perintah diputuskan, namun sehingga kini tidak dilakukan.

“Bayaran itu telah dibuat oleh Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Atlantis Kota Syahbandar dan dipersetujui oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Sudah lebih sebulan wang RM42,930 tidak dipulangkan dan ejen terbabit telah melanggar perintah mahkamah.

“Ekoran daripada tindakan tersebut, saya telah membuat satu laporan di Balai Polis Tengkera bagi pihak berkuasa menyiasat mengenai perkara tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan di sini, petang semalam.

Tambah James, seluruh penghuni empat blok pangsapuri itu tidak berpuas hati dengan keputusan Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Atlantis membuat pembayaran pampasan kepada ejen terlibat, yang diambil daripada bayaran penyelenggaraan dibayar penghuni setiap bulan.

“Semua pemilik tidak faham berhubung bayaran pampasan yang perlu dibayar kepada ejen berkenaan kerana tidak ada alasan yang munasabah.

“Isu berkenaan timbul apabila minit mesyuarat Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMC) pada 21 Mac lalu telah menyebut wang penyelenggaraan yang dibayar penghuni telah digunakan untuk membayar pampasan kepada ejen tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

The post Penghuni Pangsapuri Atlantis kesal, wang pampasan tidak dipulangkan appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*