Perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul ‘diserang’ gajah

TEMERLOH – Terasa seperti berada di zoo. Itulah gambaran penduduk kawasan perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul apabila didatangi sekawan 15 ekor gajah pada Selasa.

Seorang penduduk, Ahmad Najamudin Ahmad Shahar, 36, berkata, sejak empat tahun menetap di perumahan terbabit, itu merupakan kejadian pertama dia melihat sekumpulan gajah yang besar berada berhampiran rumahnya.

“Ini kali pertama saya melihat gajah liar dengan jumlah yang banyak (15 ekor), kami seolah-olah berada dalam zoo di luar negara yang terdapat banyak gajah dalam satu kawasan.

“Kejadian dianggarkan berlaku pada pukul 6.50 petang yang mana saya dan isteri berada kira-kira 15 meter dengan kumpulan 15 ekor gajah berkenaan, hanya seekor gajah jantan yang mempunyai gading dilihat bertindak agresif dengan cuba menyerang kami.

“Gajah terbabit merayau mencari makan. Kami melihat pergerakan haiwan itu kira-kira 20 minit sebelum ia kembali masuk ke dalam Hutan Simpan Kemasul,” katanya.

Menurutnya lagi, kumpulan gajah berkenaan sekali lagi menceroboh kawasan perumahan mereka kira-kira pukul 10 malam hari yang sama.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Nazri berkata, dia amat teruja apabila berpeluang melihat gajah dengan jumlah yang banyak bergerak dalam satu kumpulan besar.

Katanya, sebelum ini haiwan berkenaan menceroboh kawasan perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul pada waktu malam, namun kali ini, gajah terbabit muncul pada waktu petang seolah-olah tidak takut dengan dengan kehadiran penduduk yang melihat mereka.

“Kemunculan kumpulan gajah menyebabkan banyak kerosakan pada pagar serta pokok palma dan pisang kipas yang menjadi hiasan dalam kawasan Pejabat Ladang Hutan Kemasul.

“Sebelum ini saya difahamkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah menangkap dan memindahkan beberapa gajah di Hutan Simpan Kemasul,” katanya.

Sementara itu, Perhilitan dalam kenyataanya mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 45 ekor gajah berada berada dalam Hutan Simpan Kemasul yang bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan bersempadan dengan hutan simpan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Perumahan Pejabat Ladang Hutan Kemasul ‘diserang’ gajah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*