Tahanan lokap maut sebelum didakwa di mahkamah

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara tempatan yang sedang berada dalam tahanan lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini dan sedang menunggu untuk dituduh di mahkamah dilaporkan maut, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki yang berusia 47 tahun itu mengadu sakit dan muntah-muntah pada pukul 6.20 pagi.

Menurut beliau, lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk menerima rawatan pada pukul 7.45 pagi.

“Pegawai perubatan yang memberi rawatan kemudian telah mengesahkan kematian lelaki tersebut pada pukul 8.30 pagi.

“Bedah siasat dijadualkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada hari ini.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Raub, Unit Jabatan dan Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan melakukan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Lelaki itu ditahan kelmarin kerana mempunyai rekod orang dikehendaki berkenaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia juga mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes dadah dan ditahan sementara sebelum dirancang untuk didakwa di Mahkamah Johor Bahru semalam untuk pendakwaan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

The post Tahanan lokap maut sebelum didakwa di mahkamah appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*