Peruntukan Baiki Kuarters PDRM, Kurangkan Implikasi Kewangan Anggota

baiki kuarters pdrm

Peruntukan Baiki Kuarters PDRM, Kurangkan Implikasi Kewangan Anggota

KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) — Penambahbaikan fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kuarters mampu membantu mengurangkan implikasi kewangan yang ditanggung anggota polis yang terpaksa menyewa rumah di luar selain dapat memastikan kebajikan mereka terjaga.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata buat masa ini, ramai dalam kalangan anggota polis di negeri itu terpaksa menyewa di luar ekoran sebilangan fasiliti kuarters polis di kontinjen Terengganu yang uzur dan rosak akibat fenomena monsun timur laut.

“Perkara ini sebenarnya sudah lama ditunggu-tunggu terutamanya dalam kalangan anggota dan pegawai yang tidak dapat tinggal di kuarters. Kadar sewaan rumah yang mahal ketika ini membebankan mereka lebih-lebih lagi apabila elaun perumahan diterima tidak cukup untuk menampung komitmen tersebut.

“Sesetengah pula terpaksa menyewa jauh dari tempat bertugas kerana opsyen sewaan yang lebih murah. Keadaan ini membahayakan anggota serta pegawai dan boleh mendatangkan risiko kemalangan sewaktu perjalanan pergi dan pulang daripada kerja.

BACA: Warga Emas Rugi RM30,000, Wang Disimpan Untuk Pergi Haji Musnah Dimakan Anai-Anai

“Justeru, apabila kuarters itu nanti dapat dibaik pulih, ia akan memberi banyak manfaat kepada mereka selain memberi keselesaan kepada penghuni sedia ada,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ketika ini, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu telah menerima agihan peruntukan daripada Bukit Aman dan sedang dalam fasa mencari tender yang sesuai untuk kerja-kerja penyelenggaraan itu.

“Kita akan utamakan fasiliti kuarters yang perlukan kerja-kerja pembaikan segera seperti dua blok kuarters di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun yang mengalami kerosakan bumbung akibat monsun timur laut, sistem pendawaian yang berbahaya serta sistem pembetungan.

“Bakinya kita agihkan untuk kerja-kerja baik pulih di fasiliti lain dan antara yang sudah dikenal pasti ialah kuarters IPD Marang, Pondok Polis Jabi dan Balai Polis Kuala Berang. Selepas itu, kerja-kerja pembaikan kecil akan dibuat dengan menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diterima,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.

Jumlah berkenaan merupakan tambahan kepada peruntukan pembangunan berjumlah RM200 juta yang disalurkan melalui Belanjawan 2023 untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah KDN.

Sumber: BERNAMA

The post Peruntukan Baiki Kuarters PDRM, Kurangkan Implikasi Kewangan Anggota appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*