Peruntukan Harimau Malaya Ke Piala Asia Hanya RM7 Juta – Hannah

peruntukan harimau malaya

Peruntukan Harimau Malaya Ke Piala Asia Hanya RM7 Juta – Hannah

SEPANG, 26 Jan (Bernama) — Peruntukan keseluruhan bagi menampung perbelanjaan skuad Harimau Malaya menghadapi kempen Piala Asia 2023 di Qatar hanya RM7 juta, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata jumlah itu sememangnya kecil berbanding perbelanjaan negara lain dalam Kumpulan E  seperti Bahrain, Korea Selatan dan Jordan untuk bersaing di pentas bola sepak tertinggi Asia itu.

Hannah berkata berbanding Malaysia, Korea Selatan membelanjakan sebanyak RM94 juta, Jordan (RM23.5 juta) dan Bahrain (RM28.2 juta) bagi menghadapi kejohanan itu.

Justeru, katanya peruntukan RM5 juta yang bakal disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, diperlukan badan induk itu demi pembangunan skuad bola sepak negara terutamanya Harimau Malaya.

“Jumlah RM5 juta ini hanya sebahagian sahaja daripada dana yang diperlukan FAM, ramai yang berpendapat durian runtuh untuk FAM, sebenarnya FAM perlukan lagi banyak dana. Kalau kita mahu Harimau Malaya berpeluang menang pada Piala Asia, kita perlu pastikan mereka mempunyai sumber untuk berlatih dan mempunyai pendedahan seperti pasukan lain.

BACA: Ratusan Nyawa Penyokong Terkorban, Ini 7 Tragedi Terburuk Pernah Berlaku Dalam Sejarah Bola Sepak Dunia

“Saya harap semua faham, walaupun dana ini tidak begitu banyak tetapi ia sangat penting buat Harimau Malaya,” katanya ketika hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini bagi menyambut ketibaan pasukan Harimau Malaya dari Qatar.

Harimau Malaya menamatkan kempen Piala Asia 2023 dengan mencipta sensasi mengikat gergasi bola sepak Asia Korea Selatan, 3-3, pada perlawanan terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub, Doha, pada  Khamis.

Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E iaitu 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada FAM bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

Menurut Anwar, peruntukan berkenaan disalurkan dengan mengambil kira semangat juang tinggi pasukan Harimau Malaya pada saingan Piala Asia tersebut.

Sementara itu, Hannah mengingatkan orang ramai agar menjadikan pencapaian Harimau Malaya yang mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan sebagai penanda aras dan mencetus kegemilangan buat generasi baharu sukan negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya kepada KBS atas peruntukan berkenaan.

Sumber: BERNAMA 

The post Peruntukan Harimau Malaya Ke Piala Asia Hanya RM7 Juta – Hannah appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*