Polis kenal pasti pemilik akaun media sosial pasangan Russia ceroboh Merdeka 118

KUALA LUMPUR – Pihak polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memperoleh laporan analisis pemilik media sosial kedua-dua pasangan Russia yang memuat naik video menceroboh Menara Merdeka 118.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, tindakan lain seperti analisis forensik juga turut dijalankan ke atas video dimuat naik pasangan tersebut di media sosial.

“Untuk makluman, hari ini baru sahaja kami perolehi laporan analisis media sosial kedua-dua individu berkenaan daripada SKMM.

“Siasatan tidak boleh dilakukan dengan mudah dan terburu-buru, perlu ada fakta yang betul terutamanya dalam era teknologi yang canggih sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Delhan, bantuan turut diminta daripada Jabatan Imigresen (JIM) bagi mengesan kemasukan perjalanan keluar masuk negara pasangan Russia terbabit.

“Kedua-dua individu yang memanjat menara tersebut masih belum dipanggil untuk beri keterangan.

“Kami sedang tunggu maklum balas daripada JIM untuk pengesahan keluar masuk dua individu tersebut dalam negara ini,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini, seramai sembilan individu sudah diambil keterangan berkenaan kejadian tersebut termasuk pihak menara terbabit.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan aksi pasangan tular dipercayai warga Russia menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan dikecam orang ramai.

Pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat puncak pencakar langit berkenaan menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka berdua di puncak menara itu dimuat naik melalui sebuah forum dalam talian. – KOSMO! ONLINE

The post Polis kenal pasti pemilik akaun media sosial pasangan Russia ceroboh Merdeka 118 appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*