Polis Sahkan Lelaki Bantu Pasangan Pengantin Meninggal Dunia

Polis Sahkan Lelaki Bantu Pasangan Pengantin Meninggal Dunia

Polis mengesahkan seorang lelaki yang cedera parah dilanggar ketika membantu pengantin baharu dalam kemalangan Kuala Selangor menghala Tanjong Karang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, sekitar jam 3.22 petang Selasa, mangsa berusia lingkungan 30-an itu menghembuskan nafas terakhir di hospital tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa, mangsa beralamat di Puncak Alam bertindak untuk berhenti apabila melihat sebuah kereta yang dinaiki suami isteri terbalik akibat kemalangan ketika dia memandu menghala Klang dari Teluk Intan.

“Ketika kejadian, lelaki terbabit cuba membantu pasangan terlibat keluar daripada kenderaan, namun tiba-tiba sebuah kereta jenis Nissan Almera melanggar mangsa menyebabkannya tercampak di atas jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada Selasa,” katanya.

Baru sehari bergelar pengantin baharu, lelaki maut dalam kemalangan

Sebelum ini, Siakap Keli melaporkan seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu maut dalam satu kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam dari arah Kuala Selangor menghala Tanjong Karang.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10 malam pada Ahad.

Mangsa, Norsyam Nassullah Rahim, 23, meninggal dunia di tempat kejadian sementara isterinya Aini Hayati Mohd Radzi, 22, mengalami kecederaan di dagu dan patah kaki kiri.

Sementara itu, Muhammad Aiman, 25, abang sulung kepada pengantin perempuan berkata pasangan terbabit melangsungkan hari bahagia mereka di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.

“Saya seakan tidak percaya kejadian ini menimpa mereka, lebih-lebih lagi baru sehari mereka disatukan sebagai suami isteri,” katanya.

Dia memberitahu perkara tersebut sewaktu ditemui di rumah kediaman keluarga di Kampung Tersusun, Bagan Sungai Burong hari ini.

Tambah Muhammad Aiman, Aini Hayati dan Allahyarham suaminya sudah membuat persediaan majlis itu sejak Khamis.

Mengulas lebih lanjut, dia memberitahu wajah adik perempuannya tampak berseri-seri sebelum majlis perkahwinan itu.

“Saya tidak nampak pula ada apa-apa perubahan kepada mereka, malah mereka membuat persiapan rapi supaya majlis berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Sebelum insiden berkenaan, Aini Hayati dan Allahyarham suaminya juga sempat bersalaman dengan ahli keluarga.

Sumber: Sinar Harian

The post Polis Sahkan Lelaki Bantu Pasangan Pengantin Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*