Polis Terima Dua Laporan Kru Penerbitan Filem ‘Mentega Terbang’ Diugut

kru Mentega terbang diugut

Polis Terima Dua Laporan Kru Penerbitan Filem ‘Mentega Terbang’ Diugut

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Polis menerima dua laporan berkaitan kes jenayah khianat harta benda dan ugutan jenayah daripada dua kru penerbitan filem ‘Mentega Terbang’ semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata seorang daripada kru itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang selepas keretanya jenis Proton Saga disimbah cat serta menjumpai helaian kertas nota tulisan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawanya di tempat letak kereta di Taman Dagang Jaya, Ampang, di sini pada 6.30 pagi.

Hussein dalam kenyataan hari ini berkata seorang lagi kru filem berkenaan membuat laporan polis di IPD Kajang pada 7 pagi selepas pengadu mendakwa kenderaannya telah dibaling dengan plastik lutsinar berisi cecair cat pada 3.15 pagi.

Baca: Bayar RM1 Pun ‘Rider’ Hantar, Ni Cara Nak Dapat Cas ‘Delivery’ Paling Rendah Bila Pesan Makanan

“Turut ditemukan satu sampul surat warna putih yang ditulis perkataan-perkataan berunsur ugutan jenayah terhadap nyawa pengadu,” katanya.

Menurut Hussein, mangsa juga turut menerima mesej melalui telefon yang berunsur ugutan jenayah terhadap diri dan keluarganya.

Hussein berkata susulan dua laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya dan IPD Kajang telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 507/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara. Polis mengambil serius kejadian ini dan akan menyiasat sehingga mereka yang terlibat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung dengan kedua-dua kejadian itu agar tampil membantu pihak polis.

“Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes ini iaitu Insp Mu’az Mazlan menerusi talian 017-9788804 IPD Kajang dan Insp Alif 018-9834211 IPD Ampang bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada Rabu lepas, polis selesai mengambil keterangan penerbit dan enam pelakon berhubung kes filem berkenaan.

Filem ‘Mentega Terbang’ yang disiarkan secara percuma di platform penstriman digital, mendapat bantahan umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur-unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah.

Sumber: BERNAMA

The post Polis Terima Dua Laporan Kru Penerbitan Filem ‘Mentega Terbang’ Diugut appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*