PRN: Dapat arahan rasmi, PH Pulau Pinang mulakan proses rundingan dengan BN

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi membincangkan mengenai kerjasama dan persediaan menjelang pilihan raya negeri (PRN) sebaik sahaja mesyuarat PH negeri diadakan.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pertemuan itu kini boleh diadakan secara rasmi selepas PH Pusat sudah mengeluarkan arahan supaya rundingan dengan BN bagi berdepan PRN itu diadakan.

Jelas beliau, mesyuarat PH negeri sebelum ini ada membincangkan mengenai rundingan dengan BN itu, namun tiada sebarang langkah lanjut diambil memandangkan belum mendapat arahan PH Pusat ketika itu.

“Jadi sekarang sudah ada arahan rasmi, maka dalam mesyuarat PH negeri akan datang, kita akan lihat bagaimana perbincangan dengan BN itu boleh dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, beliau sudah menerima surat jemputan daripada Menteri Besar Selangor untuk menghadiri mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin negeri yang bakal mengadakan PRN pada Khamis ini.

Jelas beliau, mesyuarat itu mungkin akan membincangkan mengenai penyelarasan tarikh-tarikh penting di setiap negeri seperti pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan harapan PRN dapat diadakan serentak di negeri terlibat.

Selain Pulau Pinang, negeri lain iaitu Selangor; Negeri Sembilan; Kedah; Kelantan dan Terengganu perlu mengadakan PRN selewat-lewatnya Ogos ini selepas tidak membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRN diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada November tahun lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan berbeza, Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual pada 6 Mac ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Ia akan melibatkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

Pada Ogos tahun lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

The post PRN: Dapat arahan rasmi, PH Pulau Pinang mulakan proses rundingan dengan BN appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*