Program BJB Diilham Agong, Raja Permaisuri Tingkat Kualiti Hidup Penghuni Rumah Pangsa

bjb permaisuri agong

Program BJB Diilham Agong, Raja Permaisuri Tingkat Kualiti Hidup Penghuni Rumah Pangsa

ISKANDAR PUTERI, 1 Feb (Bernama) — Siapa sangka daripada usang, keadaan rumah pangsa Blok Kenari dan Jentayu, Kangkar Pulai, di sini semakin ceria selepas mengalami transformasi menerusi program Bangsa Johor Bahagia (BJB), diilhamkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Rumah pangsa empat tingkat itu kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang komuniti, kemudahan pelupusan barangan terpakai, perpustakaan serta kebun tanaman herba dan sayur-sayuran yang diusahakan penduduk.

Program BJB dilancarkan pada 17 Mac 2019, di bawah naungan Raja Zarith Sofiah dengan kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Kesungguhan Raja Permaisuri Agong dalam memastikan program BJB berjaya dapat dilihat apabila baginda berkenan mencemar duli beberapa kali melawat rumah pangsa didiami kira-kira 4,000 penduduk kurang berkemampuan itu, sekali gus mahu program terbabit diperluas ke kawasan perumahan lain.

Ketua Projek Persekitaran Lestari Program BJB Prof Madya Dr Mohd Hisyam Rasidi berkata Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM ingin melihat transformasi pembangunan masyarakat yang tinggal di kawasan rumah pangsa dengan gaya hidup lebih berkualiti dan berketerampilan.

“BJB berteraskan empat komponen utama iaitu komuniti digital beretika, persekitaran kejiranan yang lestari, fasiliti komuniti sejahtera dan komuniti berjaya bagi mewujudkan masyarakat lebih berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Mohd Hisyam yang juga pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM berkata dalam usaha membangunkan masyarakat setempat, kajian isu tempatan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti masalah dan keperluan penduduk supaya usaha transformasi dapat dilakukan lebih berkesan.

“Dalam dapatan kita, masyarakat (sebenarnya) mahu berubah, tetapi tidak tahu caranya. Oleh sebab itu, Raja Zarith Sofiah mempunyai ilham ingin melihat transformasi ini berlaku untuk kesejahteraan penduduk,” katanya.

Kerjasama baik dalam kalangan penghuni rumah pangsa juga menjadi penggerak perubahan dalam projek BJB serta mengekalkan kejayaan hingga ke hari ini.

Ketua Program Pembangunan Komuniti Berjaya BJB Shahrin Hashim pula berkata penerimaan terbuka penduduk untuk melakukan tranformasi minda telah membawa perubahan besar di kawasan perumahan itu.

Beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut diperoleh antaranya komuniti Blok Kenari dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pencapaian Perancangan daripada Persatuan Perancang Komanwel (CAP), hasil kejayaan Projek Pertanian Komuniti di kawasan kejiranan terbabit.

“Penduduk dengar dan mengikuti apa (inisiatif) yang kami lakukan di sini. Perubahan minda di dalam komuniti telah memberikan kejayaan dalam BJB, selain berbagai-bagai program turut dilaksanakan seperti Laman Edible BJB, program minda dan pendidikan melibatkan beberapa agensi,” katanya yang juga Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM.

Sementara itu, Pengerusi Blok Kenari Rosli Othman berkata penduduk menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah atas usaha murni pasangan diraja itu sehingga memberikan impak positif yang sangat besar kepada mereka, terutama dalam mengubah gaya hidup lebih berkualiti.

Bukan itu sahaja, mereka turut berganding bahu meneruskan inisiatif dijalankan seperti kebun komuniti yang membantu penduduk menjana pendapatan menerusi jualan lebihan sayur-sayuran sekali gus menjimatkan perbelanjaan ekonomi harian.

“Program BJB ini memberikan impak positif dan berjaya dengan kerjasama semua ahli jawatankuasa komuniti serta penduduk yang sebelum ini bagaikan tiada arah dan kurang dapat perhatian,” katanya.

Beliau berkata kanak-kanak di kawasan itu juga telah belajar memanfaatkan masa mereka dengan menimba lebih banyak pengetahuan di perpustakaan dan ruang komuniti yang disediakan.

BACA: Ingatkan Tengkolok Sahaja, Ini 7 Pakaian Istiadat Diraja Perlu Diketahui

Sumber: Bernama

The post Program BJB Diilham Agong, Raja Permaisuri Tingkat Kualiti Hidup Penghuni Rumah Pangsa appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*