Program Jiwa Murni LKIM Inisiatif Bantu Golongan Nelayan

KUALA KEDAH, 12 JANUARI 2023 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Tuan Haji Mohamad Sabu hari ini turun padang bagi menjayakan Program Jiwa Murni LKIM dan Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Nelayan Negeri Kedah.

Turut hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Yusoff Othman, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, YM Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Antara yang disampaikan pada program berkenaan adalah Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 ringgit kepada 690 orang nelayan yang merupakan ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah melibatkan peruntukan sebanyak RM207,000.00.

Untuk rekod pada tahun 2022 sahaja, bagi Negeri Kedah sebanyak RM8.08 juta telah disalurkan melalui peruntukan ESHN LKIM bagi manfaat seramai 2,224 penerima.

Kementerian melalui LKIM sentiasa bersiap siaga dan cakna dengan setiap permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan sasar nelayan demi memastikan kebajikan nelayan terus diperkasakan sekaligus memastikan keselesaan dan keperluan golongan tersebut diberi perhatian sewajarnya.

Menerusi LKIM, kementerian juga komited menyediakan pelbagai bantuan yang komprehensif bagi meringankan beban nelayan. Untuk tujuan tersebut, penilaian secara menyeluruh dilaksanakan dari masa ke semasa agar keperluan golongan sasar dapat diteliti bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada mereka.

Antara yang turut disampaikan pada hari ini adalah Bantuan Touch Point sebanyak RM50 ribu kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Negeri Kedah. Melalui peruntukan ini, setiap PNK di Negeri Kedah masing-masing menerima RM10 ribu ringgit untuk diberikan kepada nelayan ahli persatuan yang berkelayakan bagi pembelian peralatan menangkap ikan seperti pukat dan tong ikan berinsulasi.

Turut disampaikan bantuan sebanyak RM200 setiap penerima bagi bagi 100 orang asnaf miskin nelayan PNK Kuala Kedah berupa sumbangan zakat Agrobank berjumlah RM20 ribu ringgit selain Sijil Penghargaan Program Agro Nisaa’ kepada lima orang penerima program pembiayaan komuniti nelayan di Kuala Kedah.

Hasil kerjasama strategik Agrobank dan NEKMAT objektif utama program ini adalah bagi menyokong komuniti nelayan dalam memastikan pendapatan isi rumah sosioekonomi komuniti nelayan dapat ditingkatkan.

Seramai 25 peserta yang terbahagi kepada 5 kumpulan di kawasan Kuala Kedah dan sekitarnya telah mendapat manfaat dari program ini dengan nilai pembiayaan melebihi RM150 ribu. Program ini dilihat dapat membantu meningkatkan purata pendapatan usahawan sekitar 40 hingga 60 peratus dari pendapatan sebelumnya.

Majlis Amanat YB Menteri bersama para pemimpin Persatuan Nelayan Kebangsaan, Negeri dan Kawasan Negeri Kedah turut diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kementerian dengan pemimpin Persatuan Nelayan dan kumpulan sasar selain turut membincangkan segala permasalahan, keperluan dan hala tuju Persatuan Nelayan di Negeri Kedah menerusi dialog secara bersemuka.

Kementerian melalui LKIM sentiasa berusaha dan komited untuk membantu meringankan beban yang ditanggung golongan sasar nelayan selain memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjaga sebagai dokongan dalam memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.

The post Program Jiwa Murni LKIM Inisiatif Bantu Golongan Nelayan appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*