Jumlah Kematian Gempa Turkiye-Syria Mungkin Cecah 50,000 – Ketua Bantuan PBB

jumlah kematian gempa bumi turkiye

Jumlah kematian akibat gempa bumi Turkiye-Syria mungkin berganda daripada paras semasa, 28,000 – Ketua Bantuan PBB

Jumlah kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria dilapor mungkin akan berganda atau lebih daripada paras semasanya kini iaitu 28,000 orang, lapor AFP.

Demikian kenyataan Ketua Bantuan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Matin Griffiths yang menjangkakan angka korban dipercayai semakin meningkat.

Difahamkan pihak perubatan mengesahkan 24,617 terbunuh di Turkiye manakala 3,574 di Syria yang menjadikan jumlah korban kini mencecah 28,191 orang setakat ini.

Griffiths yang tiba di pusat gempa di Kahramanmaras, selatan Turki pada Sabtu berkata angka korban sukar dijangka dengan tepat rentetan faktor lokasi bencana.

“Saya fikir sukar untuk menganggarkan dengan tepat kerana kita perlu berada di bawah runtuhan (lokasi kejadian) tetapi saya pasti ia akan berganda atau lebih.

“Kami belum benar-benar mengira jumlah kematian mangsa korban,” katanya.

Sehubungan itu, berpuluh-puluh ribu anggota penyelamat kini bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.

Bagaimanapun, operasi SAR yang dijalankan semakin mencabar ekoran cuaca dan suhu sejuk yang menambahkan lagi kesengsaraan berjuta lagi mangsa terjejas.

BACA JUGA: Gempa Bumi Di Turkiye Tiga Kali Lebih Kuat Berbanding Gempa 1999 – Erdogan

870,000 mangsa lapar

Sementara itu, PBB memberi amaran 870,000 mangsa memerlukan bantuan segera merangkumi sumber makanan dan minuman di seluruh Turkiye dan Syria.

Manakala di Syria pula, dianggarkan sekitar 5.3 juta orang mungkin telah kehilangan tempat tinggal mereka akibat bencana alam itu.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa hampir 26 juta orang telah terjejas disebabkan gempa bumi sedemikian.

Hal tersebut membuatkan WHO bertindak untuk melancarkan kutipan kilat pada Sabtu ($42.8 juta) untuk menampung keperluan kesihatan segera mangsa.

Untuk rekod, lebih 32,000 anggota penyelamat Turkiye menjalankan SAR, disusuli seramai kira-kira 8,294 penyelamat antarabangsa yang terlibat.

“Tidak lama lagi, agensi SAR akan memberi laluan kepada agensi kemanusiaan yang bertugas merekodkan jumlah mangsa terjejas bagi bulan-bulan berikutnya,” tambah Griffiths.

Sumber: AFP via France 24

The post Jumlah Kematian Gempa Turkiye-Syria Mungkin Cecah 50,000 – Ketua Bantuan PBB appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*