Jana Wibawa: 3 termasuk pemimpin politik didakwa pagi ini

PETALING JAYA: Seorang ketua penerangan sebuah parti politik berpangkat Datuk antara tiga individu yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen pagi ini berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, suspek yang juga seorang ahli Parlimen itu dipercayai telah menerima rasuah daripada kontraktor yang melaksanakan projek Jana Wibawa itu.

Kata sumber itu, selain beliau, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat juga akan didakwa melibatkan siasatan kes sama.

“Ya akan tuduh pagi ini. Wang yang diterima Ketua penerangan parti politik daripada kontraktor itu tidak dimasukkan ke dalam akaun parti politik yang sedang SPRM siasat,” katanya secara ringkas.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan terdapat jemputan akhbar daripada SPRM menyatakan pendakwaan yang akan dilakukan pagi ini.

Bagaimanapun, jemputan berkenaan tidak memaklumkanpertuduhan terhadap siapa dan ia merupakan amalan biasa dengan jemputan sedemikian.

Untuk rekod, pada 9 Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 billion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.

Susulan siasatan itu, beberapa kontraktor mengakui membayar komisen terbabit dengan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Pada 2 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membeku dua akaun bank membabitkan sebuah parti politik bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.-UTUSAN

The post Jana Wibawa: 3 termasuk pemimpin politik didakwa pagi ini appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*