Proses Padi Sendiri Sejak Tiga Tahun, Tak Risau Kehabisan Beras

Proses Padi Sendiri Sejak Tiga Tahun, Tak Risau Kehabisan Beras

Sejak tiga tahun lepas, sebuah keluarga di Alor Berala telah mengambil langkah untuk memproses padi sendiri untuk mendapatkan bekalan beras bagi kegunaan harian mereka.

Kata Mohd Zabidi Abdullah, 57, sebab itu mereka sekeluarga dapat bekalan seperti biasa ketika penduduk di bandar agak sukar mendapatkan beras tempatan.

Menurutnya, bersama-sama abang iparnya, Zainol Hassan, 71, yang menanam padi pulut sejak 2018, mereka membeli sebuah mesin memproses padi pada harga kira-kira RM1,700 di Thailand.

“Boleh dikatakan sudah lebih tiga tahun saya proses padi untuk menghasilkan beras untuk dimasak dan dimakan kami sekeluarga.

“Bagi kami, beras kampung diproses sendiri lebih sedap daripada yang diproses di kilang,” katanya apabila ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut Mohd Zabidi, beras yang dihasilkan mempunyai kanji yang lebih banyak berbanding beras yang diproses kilang.

“Jadi, makan beras proses sendiri ini lebih sedap dan manis daripada beras dibeli di kedai-kedai. Rasa istimewa serta lain daripada yang lain,” katanya.

Mohd Zabidi berkata bahawa beras kampung yang telah diproses sendiri itu boleh digunakan serta merta untuk dimasak menjadi nasi.

Oleh itu, katanya, dia tidak perlu risau tentang kehabisan beras kerana dapat memproses padi sendiri.

“Asalkan ada padi saja boleh buat beras sendiri. Selain saya, tak silap ada satu lagi tempat yang turut memproses padi untuk menghasilkan beras sendiri,” kata Mohd Zabidi.

Dia juga menjelaskan bahawa beras kampung yang telah diproses itu bukanlah untuk dijual, sebaliknya hanya untuk kegunaan keluarganya dan penduduk berdekatan.

“Ada juga rakan dan jiran yang datang ke rumah untuk menggunakan mesin memproses padi mereka di rumah ini,” tambahnya.

Jelasnya yang merupakan seorang bapa kepada tiga orang anak itu, setakat ini dia tidak pernah berdepan dengan kesukaran untuk menggunakan mesin memproses beras tersebut memandangkan ia mudah dan cepat.

Memproses Seguni Padi

Menurut Mohd Zabidi, dia hanya mengambil masa lebih kurang lima minit untuk memproses seguni padi seberat 20 kilogram.

Dia juga berkata, keluarganya dapat berjimat kerana beras yang diproses sendiri itu boleh menampung keperluan mereka selama seminggu atau lebih.

“Daripada 20 kilogram padi itu, kami boleh dapat antara 13 hingga 14 kilogram beras. Yang lebihnya pula akan dihancurkan untuk membuat ikan pekasam,” katanya.

Dia juga berkongsi, bahagian sekam padi juga tidak perlu dibuang dan digunakan sebagai makanan tambahan untuk itik.

“Kiranya, semua bahagian kami boleh gunakan selepas memproses padi sendiri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Beras 10kg Hanya RM26, Ni Lubuk Tersembunyi Nak Dapatkan Beras Tempatan Murah

 

The post Proses Padi Sendiri Sejak Tiga Tahun, Tak Risau Kehabisan Beras appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*