Protes Pada Majlis Konvokesyen: Lepasan UM Didenda RM5,000

um konvokesyen

Protes Pada Majlis Konvokesyen: Lepasan UM Didenda RM5,000

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap lepasan Universiti Malaya (UM) selepas didapati bersalah membangkitkan kemarahan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan tetamu sewaktu Istiadat Konvokesyen UM Ke-59, empat tahun lepas.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, 27, di akhir kes pembelaan.

“Perbuatan tertuduh (tertuduh) untuk menjustifikasikan perbuatannya tidak mematahkan kes pendakwaan kerana elemen-elemen di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan telah berjaya dibuktikan,” kata majistret itu yang turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

Pada 5 April 2022, tertuduh diperintahkan membela diri atas pertuduhan dengan sengaja telah mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM ketika itu, Abdul Rahim dan tetamu dengan tindakannya yang boleh menjejaskan keamanan awam di Dewan Tunku Canselor UM di sini, pada 10 pagi, 14 Okt 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Illi Marisqa ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan alasan tertuduh bahawa dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengutarakan pandangannya sewaktu majlis konvokesyen itu.

“Mahkamah berpendapat pihak pembelaan tidak dapat menyangkal bahawa tertuduh berniat untuk melakukan kesalahan seperti dipertuduhkan.

“Mahkamah juga tidak diyakinkan bahawa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan perbuatan itu boleh mendatangkan amarah naib canselor sekali gus mengganggu keamanan dan ketenteraman awam (tetamu),” katanya.

BACA: Polis Jadi Bingung Banduan Enggan Keluar Walau Dah Tamat Hukuman, Terpaksa Halau Balik Rumah

Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam T. Shashi Devan yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minima atas alasan perbuatan dilakukan anak guamnya adalah kesalahan kali pertama.

“Anak guam telah memberikan keterangannya di mahkamah dan ia jelas menunjukkan tiada perkara yang memecahkan keamanan dan ketenteraman di UM mahupun di seluruh negara. Tiada juga laporan kecederaan atau kerugian harta benda dibuat oleh pihak universiti atau pihak lain,” katanya.

Menurut Shashi, tertuduh kini bekerja sebagai pegawai penyelaras dan kempen di Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dengan pendapatan RM3,800 sebulan dan menanggung keluarga, serta sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana di universiti sama dalam Jurusan Keadilan Jenayah, Falkulti Undang-Undang.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman pula memohon hukuman berat supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

Seramai 13 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Menurut laporan Bernama bertarikh 19 Okt 2019, semasa istiadat konvokesyen tersebut tertuduh membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’.

Sumber: BERNAMA

The post Protes Pada Majlis Konvokesyen: Lepasan UM Didenda RM5,000 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*