Pura-pura minta daun pandan sebelum curi jongkong emas

KEMAMAN – Seorang wanita warga emas berusia 85 tahun berputih mata kerugian RM85,000 apabila 12 kepingan jongkong emas miliknya dilarikan sekumpulan penjenayah pada awal bulan ini.

Kejadian pecah rumah di Kampung Geliga di sini terbabit disyaki didalangi seorang lelaki dan wanita yang berusia dalam lingkungan antara 20-an dan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua suspek berpura-pura meminta daun pandan dengan wanita warga emas itu.

“Sewaktu mangsa pergi mengambil daun pandan berkenaan di belakang rumah, seorang suspek mengikut dan mengajaknya berborak sehingga sampai setengah jam.

“Masa terluang itu digunakan seorang lagi suspek untuk memasuki rumah mangsa untuk mencuri 12 keping jongkong emas berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hanyan berkata, wanita berusia 85 tahun tersebut hanya menyedari rumahnya telah diceroboh penjenayah terbabit apabila jongkong emas itu sudah hilang dalam simpanannya.

Tambah beliau, polis percaya modus operandi suspek ialah melekakan tuan rumah dengan berbual panjang atau berpura-pura meminta hasil pertanian seperti daun pandan, kelapa dan serai sebelum menceroboh kediaman mangsa.

“Penjenayah ini menyasarkan golongan warga emas dan individu yang tinggal bersendirian sebagai mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pura-pura minta daun pandan sebelum curi jongkong emas appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*