Rasa Takut ‘Tertinggal’, Kenali Apa Itu FOMO & Siapa Yang Selalu Alami

apa itu fomo

Rasa Takut ‘Tertinggal’, Kenali Apa Itu FOMO & Siapa Yang Selalu Alami

Ketika menjalani kehidupan seharian, pernah tak anda rasa takut ketinggalan dalam sesuatu perkara?

Diri menjadi tidak senang duduk apabila anda terlepas perkembangan semasa dan rasa tak senang hati bila tak dapat memiliki benda sama macam orang lain dapat?

Atau boleh jadi juga, hati merasa kecewa apabila gagal mendapatkan produk-produk viral atau trending di media sosial.

Jika ya, situasi yang dihadapi anda itu mungkin adalah simptom kepada situasi yang dipanggil FOMO (Fear of Missing Out).

Menurut pengasas Priority Wellness Group, Dr Natalie Christine Dattilo istilah FOMO dipercayai muncul seawal 2004.

Kenali apa itu FOMO dan siapa yang selalu alami

Ahli psikologi menggunakan istilah berkenaan untuk menggambarkan satu fenomena yang muncul akibat penggunaan laman rangkaian sosial.

Ketika itu, Facebook baru sahaja dilancarkan dan manusia mula dapat berkongsi status hubungan serta aktiviti harian mereka secara umum.

Istilah berkenaan kemudian terus berkembang dan sering digunakan seiring kemunculan pelbagai aplikasi media sosial yang lain.

“FOMO merangkumi kedua-dua persepsi ketinggalan yang mencetuskan kebimbangan dan tingkah laku kompulsif.

“Contohnya seperti menyemak dan mengemas kini laman web untuk mengekalkan hubungan sosial,” katanya.

Namun begitu, perasaan risau menjadi terasing atau ketinggalan sebenarnya wujud sebelum kemunculan internet lagi.

Antara simptom-simptom FOMO

Menurut laporan Ramalan Teknologi dan Perubahan Sosial 2021, walaupun FOMO bukan keadaan yang boleh didiagnosis, tetapi ia mempunyai simptom spesifik.

Antaranya simptom yang biasa dialami adalah memeriksa media sosial secara obsesif untuk melihat apa yang orang lain lakukan.

Seterusnya, mengalami perasaan negatif apabila membandingkan kehidupan dengan apa yang orang lain lakukan atau jalani di media sosial.

Selain itu, merasa keletihan daripada segi mental juga menjadi simptom FOMO.

Simptom-simptom FOMO yang lain seperti ‘berusaha’ untuk kelihatan (atau aktif) dimana-mana sahaja dan fizikal rasa cepat letih.

Mereka yang FOMO juga sering tidur tidak lena dan emosi boleh terganggu.

Apa penyebab FOMO?

Menurut ahli psikologi, terdapat banyak punca yang boleh menyumbang kepada FOMO.

Selain takut rasa tertinggal di media sosial, FOMO juga boleh terjadi dalam dunia realiti.

Misalnya, apabila tiada keperluan untuk anda hadir ke mana-mana acara, jualan, karnival dan sebagainya yang sedang berlangsung, namun terpaksa untuk pergi kerana takut digelar ketinggalan.

Anda mungkin merasa bimbang tiada topik atau merasa malu apabila berbicara dengan rakan-rakan yang hadir ke acara tersebut nanti.

Selain itu, FOMO juga boleh disumbangkan apabila anda tidak memahami topik, atau gurauan-gurauan semasa yang sedang diketawakan orang lain.

Forbes berkata, FOMO juga boleh berlaku apabila anda sering dipinggirkan daripada aktiviti atau acara yang dibuat oleh orang disekeliling anda.

Terlepas apa-apa tawaran jualan istimewa atau terhad, misalnya daripada jenama yang anda ikuti juga menjadi salah satu punca simptom ini.

Psikologi FOMO

Setiap manusia pasti memiliki perasaan mahu bersatu, menyayangi dan disayangi. Rasa sense of belonging adalah sifat semula jadi manusia.

Satu kajian yang berfokuskan kepada remaja merujuk situasi ini sebagai social hunger atau ‘keinginan untuk diterima oleh orang lain’.

Kajian itu mendapati betapa pentingnya bagi sesetengah orang untuk mereka sentiasa menjadi sebahagian daripada sesuatu perkara. Apabila gagal pula, keadaan itu kemudian memberi impak negatif kepada mereka.

Maka tak hairanlah, FOMO turut dikaitkan dengan isu kesihatan mental. Mengalami FOMO boleh dikaitkan dengan kemurungan, rasa lebih tertekan sekaligus penurunan kepuasan hidup.

Bagaimana nak melawan FOMO

Bagi individu yang mengalami FOMO, terdapat beberapa nasihat yang boleh anda terima.

Pertama sekali, anda perlu sedar yang kehidupan orang lain di media sosial tidak sesempurna seperti yang dilihat.

Kebanyakan orang tidak berkongsi kehidupan hari biasa mereka secara terperinci di media sosial. Jarang sekali mana-mana individu menulis perkara tidak enak yang berlaku dalam hidup mereka untuk bacaan umum secara terbuka.

Dalam pada itu, tidak semua orang melalui 24 jam yang sama dan penuh dengan keseronokan.

Selain itu, anda juga perlu mengenali apakah punca atau aktiviti yang menyebabkan anda menjadi FOMO. Setelah itu, cuba kawal perkara tersebut atau berpada-pada ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Seterusnya dan paling penting, berjumpa dengan ahli terapi. Anda boleh meminta nasihat daripada pakar psikologi kerana mereka lebih memahami situasi yang anda alami.

BACA: Tak Sangka, 7 Istiliah Yang Kita Selalu Guna Ini Sebenarnya Jenama Produk

Sumber: Forbes

The post Rasa Takut ‘Tertinggal’, Kenali Apa Itu FOMO & Siapa Yang Selalu Alami appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*