Rayuan Yusoff Rawther batal pembelaan Anwar 7 April

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Muhammed Yusoff Rawther berkaitan kes saman membabitkan dakwaan serangan seksual oleh Perdana Menteri itu di kediamannya, lima tahun lalu  didengar pada 7 April ini.

Tarikh tersebut ditetapkan pada pengurusan kes yang dijalankan semalam dan pendengaran rayuan tersebut dijalankan secara Zoom.

Muhammed Yusoff memfailkan rayuan tersebut pada 28 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Ahli Parlimen Tambun itu.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman mendakwa serangan seksual pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, di sini.

Bekas pembantu penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Presiden PKR berkenaan, melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya, manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku.

Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut,di sini.

Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – UTUSAN

The post Rayuan Yusoff Rawther batal pembelaan Anwar 7 April appeared first on Utusan Malaysia.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*