Rekod terendah 2,620 korban jalan raya di Jepun

TOKYO – Jepun mencatatkan 2,620 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2022, sekali gus catatan rekod terendah dalam tempoh enam tahun berturut-turut, lapor akhbar The Maniachi kelmarin.

Kematian pada 2022 kurang sedikit berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 26 kes. Jumlah tersebut bagaimanapun terendah sejak tahun pertama data berkenaan  dikumpulkan pada 1948.

Penduduk berusia 65 tahun ke atas merangkumi demografi terbesar sebanyak 56.4 peratus atau 1,471 kematian. Angka itu menurun sebanyak 49 orang berbanding 2021, demikian menurut Agensi Polis Negara.

Disebabkan kemalangan melibatkan pemandu warga emas serta pejalan kaki terus berlaku, pada Mei lalu, agensi sama melaksanakan langkah seperti ujian mandatori bagi mereka berusia 75 tahun ke atas yang memiliki rekod kesalahan jalan raya untuk memperbaharui lesen memandu.

Wilayah Osaka mencatatkan jumlah kematian paling banyak buat kali pertama pada 2022 iaitu 141 orang, diikuti Aichi sebanyak 137 dan Tokyo sebanyak 132. 

Sementara itu, wilayah Tottori dan Shimane mencatat jumlah kematian terendah masing-masing dengan 14 dan 16 kes.

Kadar kematian akibat kemalangan di Okayama adalah yang tertinggi dengan 3.94 kematian bagi setiap 100,000 orang, diikuti 3.82 di Gifu dan 3.80 di Kochi.

Agensi itu percaya bahawa kes kematian akibat kemalangan jalan raya menurun hasil daripada langkah keselamatan jalan raya yang telah dilaksanakan. Pada 2022, terdapat 301,193 kemalangan dan 356,419 kecederaan direkodkan.

Rekod tertinggi untuk kematian jalan raya di Jepun adalah pada 1970 dengan 16,765 orang maut.

Kerajaan Jepun telah menetapkan matlamat untuk mengurangkan jumlah kematian jalan raya secara tahunan kepada 2,000 orang atau lebih rendah menjelang 2025.

“Kami  mengarahkan polis mengambil tindakan tegas dan melakukan pelbagai langkah seperti melindungi keselamatan pejalan kaki kanak-kanak dan warga emas, selain memastikan penunggang basikal mematuhi peraturan lalu lintas,” kata pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Awam Kebangsaan, Koichi Tani dalam satu kenyataan. – Agensi

The post Rekod terendah 2,620 korban jalan raya di Jepun appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*