Resipi Popia Udang, Masak Guna ‘Air Fryer’ Je

Resipi Popia Udang, Masak Guna Air Fryer Je!

Bila anda ada masa terluang, apakah yang anda selalu lakukan untuk mengisi waktu itu? Adakah anda akan tidur untuk menggantikan waktu-waktu di mana anda kehilangan tidur? Atau anda akan pergi keluar berjalan-jalan bersama keluarga, rakan atau seorang diri?

Ada kemungkinan juga anda hanya akan duduk di rumah dan maraton filem-filem atau drama-drama yang sudah berhabuk dalam Watch List anda. Haa, kalau nak tengok drama atau filem, mestilah nak kena ada snacks kan?

Tak best kalau layan drama atau filem kalau tak ada makanan untuk dikunyah. Selalunya kebanyakan orang mungkin akan membeli popcorn atau kudap-kudapan seperti keropok untuk mereka makan ketika menonton drama.

Apa kata, kali ini anda buat snacks yang lain sikit? Ini nak kongsi resipi popia udang yang sangat mudah nak dibuat. Bolehlah anda makan makanan sedap sikit ketika tonton drama, kan? Jangan risau, bahan-bahan dan cara membuat popia ini sangatlah mudah.

Bahan-Bahan Popia Udang

Kalau dah namanya popia udang, tak lengkaplah popia anda ini kalau tiada udang, kan? Anda akan perlukan udang, bilangan udang terpulang kepada anda.

Sekiranya anda rasa nak makan popia udang semalaman semasa menonton filem, anda mungkin perlukan beberapa ekor udang.

Seterusnya, anda perlukan daging kisar supaya popia anda tidaklah rasa kosong dengan udang semata-mata. Anda juga perlukan kulit popia, serbuk lada hitam dan lada putih, daun bawang, perasa tambahan, mayonis dan sos Thailand.

Dah siap sediakan bahan-bahan, barulah anda boleh membuat popia udang.

Cara-Cara Membuat

Mula-mula, anda bersihkan dulu udang anda. Buangkan kulit dan kaki udang, tinggalkan ekor saja. Selepas dah bersikan udang, anda potong sedikit di sepanjang bahagian bawah udang untuk jadikan ia lurus. Lepas dah potong, anda boleh letak tepi dulu.

Seterusnya, masukkan daging kisar dalam mangkuk dan masukkan sekali daun bawang yang sudah dihiris. Masukkan juga sedikit serbuk lada hitam dan lada putih serta masukkan sedikit perasa tambahan. Jika perlu, anda boleh masukkan secubit garam.

Kemudian, anda gaulkan bahan-bahan itu sehingga ia sekata. Selepas dah gaulkan, anda boleh letakkan sedikit inti itu ke atas kulit popia dan letakkan pula udang di atas inti daging itu.

Seterusnya, letakkan sedikit air di sekeliling bahagian tepi kulit popia dan lipatkan bahagian atas popia terlebih dahulu. Selepas anda sudah lipat bahagian atas popia, barulah anda boleh balutkan inti popia dengan kulit popia itu.

Untuk menggoreng popia pula, anda perlu sapukan sedikit minyak di bahagian atas popia dulu. Selepas itu, barulah anda masukkan ke dalam air fryer dan masak dalam suhu 200 celsius selama 15 minit.

Apabila siap dimasak, anda letakkan sedikit mayonis di atas popia itu dan taburkan sedikit daun bawang di atasnya. Dah siap!

Senang kan? Kalau nak lagi sedap, anda makan popia udang ini dengan sos Thailand. Barulah rasa popia lagi sedap dan nikmat untuk dimakan!

Sumber: Che Sayang Kitchen

BACA JUGA: Resipi Rendang Ayam Klasik

The post Resipi Popia Udang, Masak Guna ‘Air Fryer’ Je appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*