Rumah Mahal Tak Laku Di Perak – DUN

rumah mahal perak

Rumah Mahal Tak Laku Di Perak – DUN

IPOH, 5 Dis (Bernama) — Sebanyak 2,312 unit hartanah perumahan tidak terjual di Perak tahun lepas dengan majoriti berharga lingkungan RM200,000 ke atas, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata rumah tidak terjual itu berharga di luar kemampuan serta tidak memenuhi permintaan penduduk di lokaliti projek tersebut.

Beliau berkata menurut data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), daripada jumlah itu, rumah jenis kondominium atau apartmen paling banyak tidak terjual iaitu 1,203 unit atau 52.03 peratus.

“Berdasarkan data NAPIC ini, ia menunjukkan bahawa rakyat negeri Perak lebih cenderung untuk membeli rumah dalam kategori kos rendah iaitu harga di bawah RM100,000.

“Data NAPIC menunjukkan bahawa tiada hartanah perumahan tidak terjual dalam kategori harga tersebut di dalam negeri Perak,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan itu di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sandrea (PH-Teja) menjawab soalan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) yang ingin tahu mengenai isu rumah tidak dijual dan langkah yang telah diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu.

BACA: ‘Ibarat Main Yoyo’, Coach Ni Ajar Teknik Hasilkan Bola Boling Melengkung Ketika Hayun

Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata kerajaan negeri melaksanakan Dasar Perumahan Negeri Perak bagi pembangunan melibatkan keluasan tanah melebihi lapan hektar.

Menerusi dasar itu katanya pemaju diwajibkan membangunkan 40 peratus rumah mampu milik merangkumi pembinaan Rumah Perakku I, Rumah Perakku II dan Rumah Perakku III manakala baki 60 peratus dibenarkan untuk pembinaan rumah harga terbuka.

“Kerajaan negeri turut memberi insentif-insentif kepada pemaju untuk menggalakkan pembangunan Rumah Perakku iaitu pengurangan caj pemajuan dan caj premium bagi tujuan pengeluaran hak milik bagi Rumah Perakku I dan Rumah Perakku II,” katanya.

Menurutnya sebanyak empat projek Rumah Mampu Milik berjaya disiapkan merangkumi 356 unit Rumah Perakku I, II dan III serta 100 unit Rumah Perakku I di Taman Kerian Putra, 107 unit Rumah Perakku II di Selinsing dan Taman Kerian Putra serta 149 unit Rumah Perakku III di Tualang Sekah Fasa 2, Taman Kerian Putra dan Gerik.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 1,929 unit Rumah Perakku akan siap dibina tahun hadapan terdiri daripada 172 unit Rumah Perakku I di Trolak, Tanjung Tualang Fasa 3 dan Tapah serta 1,222 unit Rumah Perakku II di Perwira Batang Padang, Tapah, Perwira Seri Iskandar, Perak Tengah, Simpang Pulai dan Tapah.

“Tambahan 535 unit Rumah Perakku III yang terletak di Tanjung Tualang Fasa 2, Tapah, Asam Kumbang dan Parit juga disasarkan akan siap pada tahun 2024,” katanya.

Sumber: BERNAMA

The post Rumah Mahal Tak Laku Di Perak – DUN appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*