Sebahagian LTU Seskyen 5A: Raub ByPass Dibuka 12.01 Tengah Malam Ini

LTU raub bypass

Sebahagian LTU Seskyen 5A: Raub ByPass Dibuka 12.01 Tengah Malam Ini

RAUB, 7 Mac (Bernama) — Pengguna jalan raya kini boleh menarik nafas lega apabila sebahagian lagi laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) iaitu Seksyen 5A: Raub ByPass akan dibuka pada 12.01 tengah malam ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pembukaan jajaran tersebut menurut beliau dapat memberi manfaat apabila ia dapat menyingkatkan masa perjalanan dari Leburaya Pantai Timur ke Kuala Lipis tanpa perlu melalui bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 kilometer (km) yang mengambil masa hanya 30 minit.

“Ia dapat menjimatkan masa sehingga dua jam berbanding melalui jalan sedia ada yang terpaksa melewati bandar Bentong dan Raub malah kami mengharapkan dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya kerana simpang jalan yang bakal dibuka dilengkapi dengan lampu isyarat.

“Selain itu, laluan ini turut diharapkan dapat menjimatkan keseluruhan kos perjalanan selain mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan sedia ada terutamanya pada waktu puncak, ketika musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan jalan berkenaan di sini, hari ini yang disempurnakan bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

BACA: Nahas Dua Lori, Pemandu Dan Kelindan Maut

Secara keseluruhan, panjang Seksyen 5A: Raub ByPass adalah 9.6km dan dengan pembukaan laluan sepanjang 6.4km pada tengah malam ini serta 600 meter yang telah dibuka pada 25 Jun lepas, menjadikan jumlah jajaran yang telah dibuka adalah sepanjang 7km manakala bakinya 2.6km lagi dijadualkan siap pada Jun 2024.

Pembinaan LTU atau dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan sehingga persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melibatkan laluan sepanjang 299.4km serta kos sebanyak RM7.7 bilion.

“LTU ini dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lima pakej yang pelaksanaan dilakukan mengikut keutamaan pembinaan berdasarkan kawasan yang terdedah kepada kemalangan dan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Nanta dalam sidang media memaklumkan pihaknya dalam proses meneliti cadangan kerajaan negeri untuk membina kawasan Rehat & Rawat (R&R) di LTU laluan Bentong dan Raub.

Terdahulu, Wan Rosdy ketika berucap memohon cadangan kerajaan negeri untuk membina R&R di kawasan terbabit diberi perhatian oleh pihak kementerian selain turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pembinaan LTU di Pahang.

BACA JUGA: Apakah Hukum Sewa Barang Pinjam Kepada Orang Lain? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Ditanya mengenai cadangan Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memansuhkan tol di Gombak dan Karak, Nanta berkata buat masa ini pihaknya belum berhasrat untuk melaksanakannya.

“Saya berharap pengguna kita semuanya faham…kita perlukan kewangan untuk buat penyelenggaraan demi keselamatan pengguna, kalau kurang dana kita risau tak dapat jalankan kerja selenggara dengan baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Tuan Ibrahim ketika sidang Parlimen menggesa kerajaan menghapuskan tol Gombak dan Karak bagi mengurangkan kesesakan di laluan tersebut.

Menyentuh mengenai kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak beliau berkata pihak konsesi akan diminta supaya tidak menutup atau menyempitkan lorong bagi kerja penyelenggaraan ketika waktu puncak dan cuti perayaan.

Sumber: BERNAMA

The post Sebahagian LTU Seskyen 5A: Raub ByPass Dibuka 12.01 Tengah Malam Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*