Nahas Dua Lori, Pemandu Dan Kelindan Maut

pemandu kelindan lori maut

Nahas Dua Lori, Pemandu Dan Kelindan Maut

GOPENG — Seorang pemandu dan kelindan dilaporkan maut dalam satu nahas apabila sebuah lori muatan raga ayam yang mereka naiki terbakar dengan treler muatan batu hari ini, lapor Astro Awani.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud, nahas itu berlaku di Kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, laluan Gopeng ke Simpang Pulai sekitar jam 9.10 pagi.

Jelas Mohamad Nazri, petugas perubatan mengesahkan pemandu, Yew Khiang Khoon dan kelindan, Abdul Rahman Mat Desa meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kedua-dua lori berkenaan sedang menghala ke arah Utara selepas siasatan awal dijalankan.

Gambar: JBPM Perak

“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba lori muatan raga ayam telah melanggar bahagian belakang treler muatan batu semasa berada di lorong kiri menyebabkan lori mengalami kebakaran tetapi dapat dipadam oleh pihak bomba,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Akibat kejadian, kedua-dua mangsa tersepit di dalam lori sebelum dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.

Dalam pada itu, pemandu treler berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

BACA: Apakah Hukum Sewa Barang Pinjam Kepada Orang Lain? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Berikutan itu, laluan kiri arah utara ditutup bagi memberi laluan untuk siasatan dijalankan dan kerja-kerja pembersihan.

Walau bagaimanapun, ia menyebabkan kesesakan sekitar 10 kilometer.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon memaklumkan, pada jam 9.10 pagi, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian.

Berikutan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng telah dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kejadian melibatkan kemalangan dua buah lori, sebuah lori muatan sangkar ayam telah terbakar anggaran 40 peratus akibat pelanggaran bahagian belakang sebuah lori muatan batu,” katanya.

Mangsa yang tersepit kemudiannya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas selepas pihak bomba melaksanakan ‘size-up’ seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dan RECEO.

Operasi yang diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Mohd Nor Khairi Johari itu ditamatkan pada pukul 11.28 pagi tadi.

Sumber: Astro Awani

The post Nahas Dua Lori, Pemandu Dan Kelindan Maut appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*