Sekolah Antarabangsa IDRISSI Meraikan Majlis Pecah Tanah Kampus Baharu

SHAH ALAM, 15 Mac 2023 – Sekolah Antarabangsa IDRISSI yang berteraskan konsep menghargai alam sekitar mula bertapak sekitar 8 tahun yang lalu, kini berbangga akan bakal beroperasi di atas bangunannya sendiri yang terletak di Setia Alam.

Majlis pecah tanah tapak kampus baharu itu akan disempurnakan oleh pelajar sekolah berkenaan sebagai simbolik kepada kejayaan sekolah ini yang telah menempa pelbagai anugerah pencapaian dalam bidang pendidikan di negara kita. Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan GAINS Education Group dan Hawari Holdings Sdn Bhd, rakan-rakan media, guru-guru dan para pelajar Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam.

Menurut pengasas sekolah berkenaan, Zaliza Alias berkata, pembukaan kampus baharu itu adalah anjakan yang paling bermakna dalam sejarah sekolah berkenaan selain ia akan turut memberi lebih ruang keselesaan kepada pelajar untuk menjalani sesi akademik dan aktiviti kokurikulum dengan lebih kondusif di kampus baharu ini.

“Majlis pecah tanah ini merupakan titik penting dalam dunia pendidikan bagi Sekolah Antarabangsa IDRISSI di mana ia menandakan permulaan baharu bagi sekolah ini dan menjadi penanda aras kejayaan kami dalam bidang pendidikan.

“Kami bersyukur apabila dapat berpindah ke kampus baharu yang terletak hanya beberapa ratus meter dari lokasi sedia ada bagi memastikan pihak sekolah dapat menawarkan pendidikan yang lebih berkualiti kepada para pelajar dan seterusnya melahirkan pemimpin masa hadapan,” katanya.

Sekolah Antarabangsa IDRISSI telah menempa pelbagai kejayaan dan pencapaian yang tertinggi apabila meraih penarafan 5-bintang bagi Standard Kualiti Pendidikan Swasta (SKIPS) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Julie Wong yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua tenaga pengajar dan kakitangan yang sama-sama menggembeleng usaha secara komited dalam memainkan peranan masing-masing sehingga sekolah itu mencapai kejayaan pada tahap sekarang.

“Saya sangat menghargai semangat dedikasi yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat termasuk para pelajar yang menjadi tunjang kepada kejayaan sekolah ini dan dengan kampus baharu ini akan menjadi pemangkin semangat dan iltizam untuk terus mempertingkatkan pencapaian dalam usaha melahirkan pelajar yang berkualiti,” katanya.

Selain kampus Setia Alam, Sekolah Antarabangsa IDRISSI juga mempunyai kampus lain di EduCity Iskandar Puteri, Johor yang telah beroperasi pada Oktober 2019.

Kampus baharu ini akan dibina oleh pemaju Hawari Holdings Sdn Bhd, dijangka akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2024. Dengan pembukaan kampus baharu ini Sekolah Antarabangsa IDRISSI bersedia menerima lebih ramai pelajar dengan fasiliti pendidikan yang lebih menarik.

The post Sekolah Antarabangsa IDRISSI Meraikan Majlis Pecah Tanah Kampus Baharu appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*