PENYERANG import baharu Selangor FC, Ali Olwan optimis dapat menggalas tanggungjawab selaku penggempur utama dalam usaha membantu pasukan mencabar saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah telah mengesahkan kehadiran penyerang antarabangsa Jordan itu selain pemain import baharu bagi menguatkan pasukan ketika ini.
Kehadiran Olwan pastinya bakal memberi tentangan sengit ke atas penyerang import, Ronnie Fernandez yang dikritik hebat kerana gagal mempamerkan aksi konsisten pada beberapa perlawanan lepas.
Menurut Olwan, pengalaman daripada beberapa pemain Jordan yang mewakili skuad Merah Kuning ketika ini seperti Noor Al-Rawabdeh dan Reziq Bani Hani diharap dapat membantunya menyesuaikan diri dengan lebih cepat.
“Menjadi pemain import sebenarnya agak sukar tetapi saya yakin dengan pilihan ini. Secara jujurnya, saya ada tengok beberapa perlawanan Liga M dan saya yakin banyak perubahan baik berlaku dari semasa ke semasa.
“Dalam masa yang sama, pengalaman daripada Al-Rawabdeh dan Reziq serta dua pemain Jordan yang pernah bersama Selangor iaitu Yazan Al-Arab serta Bahaa Abdelrahman cukup penting untuk saya buat keputusan berhijrah ke sini.
“Saya diberitahu bagaimana Selangor menghormati para pemain dan profesionalisme mereka dalam menguruskan sesuatu perkara.
sumber:Kosmo
“Itu adalah antara perkara penting bagi saya sebagai pemain profesional. Insya-Allah, saya akan sedaya upaya membantu pasukan mencapai lebih banyak pencapaian untuk musim ini,” katanya.
Sebagai rekod, Olwan yang berusia 24 tahun sudah membuat 42 penampilan bersama Jordan termasuk membantu pasukan mara ke pentas final Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lepas.