SOP Pelancong Tidak Dilonggar Sama Sekali, Ini 7 Intipati Penting Mesyuarat Jemaah Menteri Pagi Tadi

intipati mesyuarat jemaah menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan beberapa intipati penting yang dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada pagi Rabu.

Beliau menegaskan kesihatan rakyat adalah keutamaan dan akan memastikan kawalan pintu masuk negara akan diperketatkan susulan dengan penularan varian baru.

Dalam sidang media hari ini, Anwar berkata pihaknya akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan rakyat, oleh itu pelancong yang memasuki ke Malaysia harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama.

“Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan COVID-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan,” katanya.

Demikian merupakan antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

Bagi mengetahui intipati yang dibincangkan pada mesyuarat yang dijalankan pada pagi tadi, boleh rujuk di bawah ini.

Antara intipati penting Mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi:

  • Semua Kementerian bersama Agensi Persekutuan diarahkan untuk membuat tindakan susulan segera dengan meneruskan proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berhubung isu-isu dan perkara yang berbangkit yang belum diselesaikan. Proses rundingan perlu bersifat konstruktif dengan pertanggungjawaban pelaporan berkala kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.
  • Kerajaan akan memperkasa Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh saya melibatkan Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah. Mesyuarat pertama pada bulan Februari 2023.
  • Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2022 telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022 sebagai usaha memuktamadkan proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada kerajaan negeri Sabah, dan ia akan disusuli dengan pembentangan enakmen Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 10 Januari 2023. Ini selari dengan hasrat kerajaan untuk penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah.
  • Kementerian Kewangan akan membuat tindakan susulan segera untuk merundingkan formula baharu Pemberian Khas berasaskan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah dikemukakan oleh kedua-dua negeri. Secara prinsipnya, Jemaah Menteri bersetuju untuk mempertimbangkan penambahbaikan Pemberian Khas sedia ada kepada kedua-dua negeri tersebut.
  • Jemaah Menteri meluluskan syor pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik. Ia bermakna JKR Sabah dan Sarawak diberikan kuasa untuk menguruskan projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.
  • Atas kepentingan memacu pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Sabah dan Sarawak, Kerajaan juga telah memutuskan agar diteruskan dan disegerakan pelaksanaan Projek Sarawak – Sabah Link Road (SSLR), Lebuhraya Trans Borneo serta melengkapkan Projek Pan Borneo Sabah. Perincian pelaksanaan Projek-Projek Rangkaian Jalan Raya Utama Sabah dan Sarawak ini akan dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri terlibat.
  • Kerajaan memutuskan kepentingan dan perawatan kesihatan rakyat diberi keutamaan ketimbang hal-hal melibatkan pelancongan dan ekonomi. Justeru itu, peraturan dan SOP kemasukan mana-mana pelancong dari mana-mana negara tidak dilonggarkan sama sekali terutamanya dari negara-negara berisiko tinggi.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila baca di sini.

Sumber: Anwar Ibrahim via Facebook

The post SOP Pelancong Tidak Dilonggar Sama Sekali, Ini 7 Intipati Penting Mesyuarat Jemaah Menteri Pagi Tadi appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*