Speedy Tigers Laung Amaran Awal Dengan Belasah Thailand 9-0

tigers belasah thailand

Speedy Tigers Laung Amaran Awal Dengan Belasah Thailand 9-0

HANGZHOU, 24 Sept (Bernama) — Skuad hoki lelaki kebangsaan melaungkan amaran awal dalam pemburuan pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, selepas membelasah Thailand 9-0 pada aksi sulung saingan Kumpulan B, di Stadium Gongshu Canal Sports Park di sini, hari ini.

Pada pertembungan itu, skuad bimbingan A. Arul Selvaraj yang diberi julukan Speedy Tigers, menerima tentangan sengit Thailand di awal permainan, sebelum berjaya memecah kebuntuan menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit kelapan.

Anak buah Arul Selvaraj, menambah dua gol masing-masing menerusi Muhammad Firhan Ashari pada minit ke-21 dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-30, sekali gus meletakkan pasukan selesa mendahului 3-0, di penghujung suku kedua permainan.

Thailand semakin tertekan apabila ketinggalan 0-7 selepas Nik Muhammad Aiman mencetak gol peribadi kedua pada minit ke-32, diikuti jaringan Muhammad Azrai (minit ke-34) serta dua gol pukulan sudut penalti disempurnakan Muhamad Aminudin Mohd Zain, masing-masing pada minit ke-43 dan ke-45.

Malaysia melengkapkan pesta gol ke atas Thailand yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan Kim Jung Chul, selepas Abdul Khaliq Hamirin dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar masing-masing berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti, pada minit ke-57 dan ke-60.

Arul Selvaraj berkata barisan pemain yang diturunkan berdepan Thailand, ternyata membalas kepercayaan yang telah diberikan.

BACA: Kreatif, Ramai Kagum Tengok Alat Tapis Minyak Pisang Goreng Di Thailand Ini

“Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain, kerana ini perlawanan pertama. Lagi pun keputusan seperti ini memang sudah dijangka. Selain daripada dua kad yang dilayangkan kepada pemain saya, yang saya lihat bukanlah salah pemain, selebihnya saya berpuas hati dan menikmati perlawanan ini.

“Kita fokus daripada perlawanan ke perlawanan dan daripada situ, kita akan membina momentum untuk menghadapi aksi seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Sebagai rekod, pada perlawanan itu Faiz Helmi Jali menerima kad hijau pada minit ke-29 dan Muhajir Abdu Rauf dilayangkan kad kuning, pada minit ke-55.

Skuad Speedy Tigers yang meraih perak pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia akan berdepan Oman pada aksi kedua di venue sama, Selasa ini.

Sumber: BERNAMA

The post Speedy Tigers Laung Amaran Awal Dengan Belasah Thailand 9-0 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*