Suami isteri terlibat kes letupan, punca masalah peribadi

AMPANG – Siasatan awal polis terhadap pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang pembantu tukang masak warga tempatan pada 29 Disember lalu dipercayai berpunca daripada masalah peribadi.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut setelah memegang bungkusan plastik yang diletakkan di atas kereta miliknya berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi dalam sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya berkata, bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Bertindak atas maklumat, kami telah memberkas pasangan terbabit yang berusia 33 dan 30 tahun di sebuah taman perumahan dekat Serdang, Kedah Selasa minggu lalu.

“Kedua-duanya ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa minggu hadapan bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih berjalan bagi mengesahkan motif sebenar kejadian namun siasatan awal mendapati ia bersifat peribadi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, suspek lelaki itu bekerja sebagai kontraktor manakala isteri seorang suri rumah berasal dari tempat yang sama dengan mangsa.

Sehubungan itu, pihak polis juga telah menjalankan pemeriksaan terhadap rumah suspek pada Khamis (5 Januari) kira-kira pukul 5 pagi.

“Beberapa barang kes yang digunakan sebagai bahan letupan dalam kejadian serta sebuah kereta jenis Perodua Myvi telah dirampas.

“Setakat ini telah kami telah merakam percakapan daripada 36 orang saksi yang terlibat manakala, kes disiasat di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang tukang masak meninggal dunia akibat mengalami cedera parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet sebuah kereta meletup berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, di sini, pada 29 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 8.55 malam. – KOSMO! ONLINE.

The post Suami isteri terlibat kes letupan, punca masalah peribadi appeared first on Kosmo Digital.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*