Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Effendi Jagan Abdullah menyifatkan kesanggupan menanggung liabiliti sehingga RM14 juta sebagai tidak berbaloi.
Effendi yang juga ejen tersohor tanah air berpendapat, berdasarkan pengalamannya bertahun-tahun dalam dunia pemasaran bola sepak mengakui nilai itu cukup tinggi bagi membeli kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Katanya, dengan ketiadaan aset kekal seperti pusat latihan mahupun stadium milik kelab, jumlah RM14 juta dianggap terlalu tinggi.
“Kalau tanya saya, harga itu terlalu tinggi dan tak berbaloi. RM14 juta mungkin hanya untuk bayar kos-kos tertunggak seperti gaji dan sebagainya.
“Tapi perkara lain seperti padang latihan dan stadium tidak ada. Jadi apa ROI (Return Of Investment) yang akan dapat. Itu persoalan yang perlu dilihat sedalam-dalamnya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sebuah syarikat konglomerat terkemuka, DSAT Group Sdn Bhd bersedia menanggung hutang sejumlah RM14 juta untuk membeli KDA FC daripada pemilik majoriti, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Malah baru-baru ini, DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra sudah mengemukakan cadangan untuk mengambil alih KDA FC.
MMC menerusi satu kenyataan mengakui mendapat arahan daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Azizul Tandek yang menyatakan minat pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC serta liabiliti kelab berkenaan.
sumber: HM
Difahamkan, pihak terbabit sudah merangka beberapa pelan bagi mengatasi masalah hutang itu sekiranya berjaya mengambil alih pasukan itu.