TalentCorp Melancarkan Bulan Pemerkasaan Wanita (WEM) 2023, Meraikan Bakat Yang Mencipta Impak Positif

PULAU PINANG, 12 Mac – Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) hari ini melancarkan Bulan Pemerkasaan Wanita (WEM) 2023 dengan tema, “Be Strong, Be Tenacious, Be Kind” sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Ketika acara pelancaran WEM 2023, YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang menyeru semua pihak berkepentingan untuk menangani isu pandangan stereotaip tentang peranan berasaskan jantina dan tanggungjawab tradisi terhadap wanita.

“Justeru, amalan Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman boleh meningkatkan peluang wanita untuk terus bekerja di samping menggalakkan lelaki untuk bersama-sama memikul tanggungjawab rumah tangga dan keluarga,” katanya.

Sepanjang bulan Mac ini, WEM 2023 menawarkan pelbagai program yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan wanita daripada pelbagai latar belakang, termasuk wanita yang kurang bernasib baik, bakat yang baharu muncul, profesional dan bakal pemimpin.

Dalam ucapannya, YB Tuan V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia berkata pindaan baru-baru ini ke atas Akta Kerja (1955) dengan memperkenalkan pengurangan waktu bekerja, pengaturan kerja yang fleksibel, serta lanjutan cuti bersalin dan paterniti adalah bertujuan untuk memecahkan halangan penyertaan wanita dalam ekonomi, serta membolehkan kehidupan yang lebih seimbang untuk tenaga kerja Malaysia.

“Ini selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai untuk membentuk kepercayaan rakyat melalui dasar yang adil dan holistik,” katanya.

YB Hajah Aiman ​​​​​​​Athirah Binti Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memuji usaha TalentCorp dalam menyelaras usaha pemerkasaan wanita di seluruh kementerian, agensi dan industri.

“Usaha ini selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menyokong kesaksamaan gender, dan pembangunan negara yang seimbang dan mampan,” katanya.

Pelancaran WEM 2023 turut menyaksikan pengiktirafan majikan Malaysia sebagai perintis pusat jagaan kanak-kanak di pejabat, serta meraikan bakat Malaysia yang memberi impak besar dalam meningkatkan usaha pemerkasaan wanita.

Antara syarikat yang telah membuka pusat jagaan kanak-kanaknya ialah:

  • Micron Memory Sdn Bhd di Batu Kawan, Pulau Pinang; dan
  • United Overseas Bank (Malaysia) Berhad di Lembah Klang.

Dua syarikat yang bakal melancarkan pusat jagaan kanak-kanak mereka pada tahun ini ialah:

  • Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik di Lembah Klang, dan
  • Mahwengkwai & Associates Corporate Services Sdn Bhd di Lembah Klang.

Anugerah Citra Madani yang julung kali diadakan turut disampaikan kepada 14 orang penerima, antaranya:

  • Maryam Khairul Anuar, artis berusia sepuluh tahun yang menghidap Sindrom Down berjaya mengumpulkan dana bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan pembedahan di Institut Jantung Negara. Maryam baru-baru ini telah menjayakan pameran seni dengan jualan yang mencatatkan dana sebanyak RM 64,765.00.
  • Ili Nadiah Zulfakar, yang mengasaskan program bagi memperkasa Orang Asli untuk memperkayakan perbincangan mengenai iklim melalui cara kreatif.
  • Rita Santaran, ibu tunggal kepada empat anak dari Perak yang membentuk kesatuan untuk mempertahankan haknya serta rakan sekerjanya Ketika tempoh Pandemik. 

Menerusi WEM 2023, TalentCorp menggesa semua warga Malaysia MADANI untuk berganding bahu dan memberi sumbangan bermakna ke arah mencapai kesaksamaan secara kolektif. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti WEM 2023, sila layari www.talentcorp.com.my/wem2023.

The post TalentCorp Melancarkan Bulan Pemerkasaan Wanita (WEM) 2023, Meraikan Bakat Yang Mencipta Impak Positif appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*