Tiga kelab Liga Super mempunyai tunggakan gaji

KUALA LUMPUR: Tiga kelab Liga Super didapati mempunyai tunggakan gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi Mei dan Jun 2024.

Perkara itu dikesan Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) selepas melakukan pemeriksaan terhadap dokumen yang diserahkan semua kelab Liga Super sebelum tarikh akhir 16 Julai lalu.

FFP FIB dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa pertama dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia (Liga M) bermula musim 2024-2025.

Berdasarkan pemeriksaan dokumen laporan kewangan itu, FFP FIB mendapati lapan kelab berjaya menyerahkan laporan kewangan pertama FFP dengan lengkap tanpa sebarang tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS Perkeso setakat Jun 2024.

“Bagaimanapun terdapat dua kelab yang tidak menghantar laporan kewangan pertama FFP pada tarikh akhir 16 Julai 2024, namun berjaya menyelesaikannya selepas diberikan lanjutan masa sehingga 31 Julai 2024 oleh pihak FIB FFP.

“Daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan semua kelab, didapati bahawa tiga kelab mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, Perkeso dan EIS bagi Mei dan Jun 2024 manakala dua kelab lagi perlu menghantar dokumen kewangan tambahan.

“Kesemua kelab terbabit diarahkan oleh FFP FIB untuk menyelesaikan tunggakan dan menyerahkan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir 15 Ogos 2024.

sumber: BH

“Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan kelab berkenaan dikenakan sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang,” kata FFP FIB dalam kenyataan itu.