Tugas Kami Sudah Selesai, Terpulang Kepada Najib Fail Petisyen Ke PBB – Tengku Maimun

terserah kepada najib

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) — Petisyen difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD), yang memohon agar beliau dibebaskan daripada penjara atau kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya dibicarakan semula, tidak menjejaskan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya pada 23 Ogos tahun lepas, “terserahlah kepada Najib” untuk mengambil apa-apa tindakan.

“Tugas kami sudah selesai. Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” kata beliau pada sidang media selepas berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-undang 2023, di sini hari ini.

Minggu lepas, bekas perdana menteri, melalui Tetuan Shafee & Co, memfailkan petisyen di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu sidang akhbar bahawa anak guamnya memfailkan petisyen itu untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula susulan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.

Tengku Maimun juga berkata jumlah Hakim Mahkamah Persekutuan adalah mencukupi untuk membentuk panel bagi mendengar permohonan Najib bagi mencabar sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau dalam kes SRC International yang dijadualkan pada 19 Jan ini.

Beliau berkata hakikat bahawa tarikh pendengaran telah dijadualkan bagi semakan Najib terhadap sabitannya dalam kes SRC menunjukkan bahawa Mahkamah Persekutuan sudah ada panel untuk berbuat demikian.

“Tidak, bagi permohonan semakan Datuk Seri Najib, kami sudah menetapkan tarikh pendengaran. Apabila kami menetapkan tarikh, kami sudah ada panel hakim, jadi kekosongan itu tidak akan menjejaskan kes semakan Datuk Seri Najib,” katanya.

Tengku Maimun menjawab soalan pemberita sama ada kekosongan di Mahkamah Persekutuan akan menjejaskan pendengaran semakan kes SRC.

Beliau berkata badan kehakiman telah mencadangkan untuk mengisi dua kekosongan di Mahkamah Persekutuan dan pada Januari lepas, mengesyorkan dua nama bagi menggantikan Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Seri Mohd Zawawi Mohd Salleh yang bersara pada Mei dan Julai tahun lepas.

“Malah pada April kami sudah mempunyai beberapa nama namun terdapat sedikit kesilapan dalam proses yang dijalankan, jadi itulah sebabnya tiada sebarang pelantikan,” katanya.

Baru-baru ini, Muhammad Shafee membangkitkan isu mengenai ketidaktentuan sama ada pendengaran semakan SRC akan berjalan minggu depan kerana Najib telah memohon panel baharu yang terdiri daripada tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes itu.

Sumber: BERNAMA

The post Tugas Kami Sudah Selesai, Terpulang Kepada Najib Fail Petisyen Ke PBB – Tengku Maimun appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*