UN Jangka Gaza Akan Bertukar Jadi Kubur Kanak-kanak Dengan Cepat

gaza kubur kanak-kanak

UN Jangka Gaza Akan Bertukar Jadi Kubur Kanak-kanak Dengan Cepat

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menyifatkan Gaza yang berdepan dengan konflik bakal bertukar menjadi tanah perkuburan kanak-kanak dengan cepat, lapor BBC.

Setiausaha Agung UN António Guterres memberi amaran bahawa keadaan yang berlaku di enklaf itu lebih daripada krisis kemanusiaan.

“Ratusan kanak-kanak perempuan dan lelaki dilaporkan terbunuh atau cedera setiap hari,” katanya pada Isnin semasa sidang akhbar.

Beliau turut mengatakan bahawa konflik tersebut sudah menggegarkan dunia dan telah mengambil begitu banyak nyawa yang tidak bersalah.

Dalam masa sama Guterres sekali lagi menggesa gencatan senjata dilakukan segera.

Bagaimanapun, kenyataannya itu dikritik keras oleh Menteri Luar Israel Eli Cohen yang mengatakan Guterres patut malu dengan perkataan yang keluar daripada mulutnya.

“Lebih 30 kanak-kanak bawah umur dan antaranya seorang bayi berusia sembilan bulan yang menyaksikan ibu bapa mereka dibunuh dengan kejam dan juga ditahan di Semenanjung Gaza,” katanya.

Setakat ini memasuki minggu kelima, pertempuran tersebut masih tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza mengeluarkan angka terbaharu kematian yang menunjukkan kira-kira 10,022 terbunuh di wilayah itu.

Ia juga termasuk seramai 4,104 kanak-kanak terbunuh sejak Israel mula serangan balas.

Menurut BBC, Israel mula mengebom Gaza selepas Hamas membunuh lebih 1,400 orang di Israel dan menculik lebih 200 yang lain.

BACA: Grab Malaysia Sumbang RM1 Juta Untuk Gaza

Dari mana datangnya angka kematian Gaza?

Kementerian tersebut yang bertanggungjawab mengemas kini angka kematian berkata hospital telah mendaftarkan butiran mangsa ke dalam komputer.

Butiran yang dilog termasuk nama penuh, umur, nombor ID dan jantina.

Maklumat tersebut kemudiannya dipindahkan setiap hari ke dalam sistem komputer pusat dan disusun oleh kementerian.

Setelah diproses, data tersebut diberikan kepada Biro Perangkaan Pusat Palestin (PCBS).

Difahamkan juga, angka itu hanya meliputi mereka yang telah meninggal dunia di hospital dan ia tidak mengambil kira mereka yang terbunuh di bawah bangunan atau yang tidak dapat dikenal pasti.

Punca kematian tertentu biasanya direkodkan tetapi pada ketika ini tidak berlaku kerana jumlah yang sangat tinggi sedang diproses.

Sumber: BBC

The post UN Jangka Gaza Akan Bertukar Jadi Kubur Kanak-kanak Dengan Cepat appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*