18 Lagi Tahanan Lolos Ditahan, Jumlah Tangkapan 76 Orang Setakat Ini

18 tahanan lolos

18 Lagi Tahanan Lolos Ditahan, Jumlah Tangkapan 76 Orang Setakat Ini

Kira-kira 18 orang lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilaporkan lolos baru-baru ini ditahan ketika bersembunyi di rumah kongsi, dekat Tapah pada Isnin.

Difahamkan, mereka merupakan sebahagian daripada jumlah tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Februari lalu

Kesemua 18 tahanan telah berjaya dicekup di rumah kongsi yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit di Tapah pada malam tadi.

Penangkapan ini sekali gus menjadikan jumlah tangkapan seramai 76 orang daripada jumlah 131 tahanan lolos secara keseluruhan.

Manakala, jumlah tahanan yang berbaki 53orang masih menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, tangkapan ke atas 18 tahanan itu dibuat kira-kira pada jam 10 malam.

“Ini membuktikan mereka (tahanan lolos) ada di sekitar kawasan tersebut dan tidak dapat pergi jauh kerana letih selain memerlukan sumber makanan.

“Hari pertama (1 Februari) seorang meninggal dunia semasa melintas lebuh raya di Bidor dan semalam (Ahad) berlaku satu lagi insiden kemalangan maut membabitkan seorang lagi tahanan larikan diri itu semasa cuba melintas lebuh raya di Tapah.

“Setakat ini dua meninggal dunia, 76 ditangkap balik dan baki 53 masih diburu,” ujarnya  kepada pemberita.

Siasatan berkenaan insiden tersebut turut dijalankan, di samping operasi penangkapan tahanan yang lolos

Selain itu, Ruslin memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengenal pasti PATI yang lolos di sekitar kawasan Bidor dan Tapah.

Selain daripada penangkapan, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik insiden yang berlaku di depoh berkenaan.

“Kita sedang jalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini.

“Saya berterima kasih kepada masyarakat dan penduduk yang memberi maklumat untuk tangkapan semula tahanan yang lolos terutama di sekitar penempatan Orang Asli,” ujarnya.

Sebelum ini, seramai 131 tahanan dilaporkan telah lolos dari blok lelaki depoh berkenaan pada 1 Februari lepas.

Angka ini termasuklah seorang tahanan yang kemudiannya didapati maut dalam satu insiden kemalangan di jalan raya.

Memetik laporan Sinar Harian, jumlah tahanan terdiri dari 115 orang etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Usaha mencari tahanan yang lolos sedang giat dijalankan termasuk melalui beberapa pasukan. Antaranya, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan JSJ Bukit Aman dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

BACA: Eskalator Rosak Tak Dibaiki, Pengguna Letak Kalung Bunga Tanda “Berkabung”

Sumber: Sinar Harian

The post 18 Lagi Tahanan Lolos Ditahan, Jumlah Tangkapan 76 Orang Setakat Ini appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*