46 Tahun Berlalu, Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina Imbau Insiden Japan Airlines 715

Japan Airlines 715 elmina

46 Tahun Berlalu, Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina Imbau Insiden Japan Airlines 715

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu nahas melibatkan sebuah pesawat di Elmina, Shah Alam sekitar jam 3 petang semalam.

Pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang membawa lapan orang termasuk dua kru itu dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang sebelum dilaporkan terhempas di lebuhraya Guthrie.

Antara mangsa yang terkorban adalah Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Manakala, dua orang awam yang menunggang motosikal dan memandu kereta juga terkorban dalam tragedi terbabit.

Nahas ini telah menarik perhatian banyak pihak hingga tular di media sosial.

Dalam masa yang sama, tragedi berkenaan mengimbau kembali satu nahas pesawat yang berlaku di lokasi yang sama kira-kira 46 tahun yang lalu.

Tragedi Japan Airlines 715 (1977)

Memetik laporan Sinar Daily, pada 27 September 1977, sebuah pesawat penerbangan milik syarikat Japan Airlines 715 telah terhempas di sebuah ladang getah berdekatan bukit di Elmina.

Pesawat McDonnell Douglas DC-8 dengan nombor pendaftaran JA8051 itu membawa seramai 79 orang  yang terdiri daripada 69 penumpang dan 10 anak kapal.

Dalam kejadian itu, seramai 34 orang telah terkorban termasuk 26 penumpang dan lapan kru kapal. Majoriti penumpang yang terkorban adalah warganegara Jepun.

Kronologi Perjalanan

Pada awalnya, pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo untuk menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.

Dalam perjalanan ke Singapura, pesawat itu dijadualkan melakukan perhentian di Lapangan Terbang Kai Tak di Hong Kong dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) terlebih dahulu.

BACA JUGA: Haram Sebarkan Video Atau Gambar Mangsa Yang Rentung – Dr Zulkifli

Ketika dua jam berlepas dari Hong Kong, pesawat itu mendapat kelulusan daripada kawalan trafik udara LTSAAS untuk mendarat di landasan 15.

Jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh Japan Airlines 715 dari Hong Kong ke Malaysia adalah sejauh 2545 kilometer (km) bersamaan 1591 batu.

Pun begitu, pesawat itu dilaporkan telah terbang di bawah altitud minimum 750 kaki sewaktu ribut petir dan dilaporkan terhempas di sebuah bukit yang terletak kira-kira 6.4 kilometer (4 batu) daripada lokasi mendarat.

Pesawat yang sepatutnya meneruskan perjalanan ke Singapura dari LTSAAS itu rosak akibat impak terhempas.

Hasil data siasatan yang diperolehi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata cuaca buruk dipercayai melanda sekitar kawasan lapangan terbang berkenaan ketika itu.

Untuk makluman, pesawat itu pertama kali melakukan penerbangan pada tahun 1971, lapor Rangkaian Keselamatan Penerbangan.

Momen Japan Airlines 715

Antara momen yang menyayat hati adalah pertemuan seorang mangsa yang terselamat dalam nahas itu dengan wartawan setelah beberapa dekad.

Maria Jean Burkhart ketika itu merupakan mangsa termuda, berumur tiga tahun diselamatkan oleh seorang wartawan R Nadeswaran sewaktu berada berhampiran lokasi itu.

Jelas Burkhart yang kini bergelar seorang jururawat di Amerika Syarikat, dia meluahkan ucapan terima kasih kepada Nadeswaran kerana menyelamatkannya ketika itu. Dia menyifatkan lelaki itu seorang yang sangat baik dan menghormatinya.

Sementara itu, bagi Nadeswaran, dia menganggap pertemuan itu tidak ubah seperti seorang ayah dan anak perempuan.

Sumber: Sinar Daily, Rangkaian Keselamatan Penerbangan

The post 46 Tahun Berlalu, Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina Imbau Insiden Japan Airlines 715 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*