70 Klinik Daif Siap Dinaik Taraf Menerusi Inisiatif Bitara Madani – Lukanisman

Klinik dinaik taraf bitara madani

70 Klinik Daif Siap Dinaik Taraf Menerusi Inisiatif Bitara Madani – Lukanisman

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Sebanyak 70 klinik daif di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara telah siap dinaik taraf menerusi inisiatif Bitara MADANI.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata pada masa sama, sejumlah 366 klinik daif lagi sedang dalam fasa pelaksanaan.

“Kita (KKM) menjangkakan mampu menyiapkan (naik taraf) keseluruhan 436 klinik daif pada Disember 2023. Kejayaan 2023 ini amat penting bagi KKM untuk meyakinkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menambah lagi peruntukan naik taraf klinik daif ini pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Membangun Klinik Daif, Memacu Perkhidmatan Efektif’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Menurut Lukanisman kos untuk menaik taraf sebuah klinik daif adalah sekitar RM50,000 hingga RM800,000.

BACA JUGA: Pembinaan Pusat Hemodialisis Pemangkin Penjagaan Kesihatan Warga Felda

“436 klinik yang sedang kita (KKM) laksanakan ini tidak mempunyai nilai kos menaik taraf yang sama rata. Nilai ini berbeza kerana ia mengikut keperluan dan tempat sesebuah klinik tersebut malah kita juga harus menjaga kualiti klinik kesihatan di negara ini,” katanya.

Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata antara kriteria diambil kira dalam menaik taraf klinik daif itu ialah bangunan yang mempunyai kerosakan serta mempunyai struktur kayu atau separa kayu.

“Selain itu, kita juga melihat klinik yang mempunyai masalah seperti perpaipan atau pendawaian serta isu yang berhubung kait dengan keselamatan dan keselesaan pesakit yang hadir. Masalah ini berlaku di kebanyakan klinik di seluruh negara, tidak kira klinik kesihatan mahupun klinik desa yang telah beroperasi 50 tahun,” katanya.

Inisiatif Bitara MADANI memberi fokus kepada penyelesaian terhadap kesulitan dan masalah yang dihadapi rakyat meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Pada 3 Julai lepas, Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM) mengumumkan kerajaan akan memberi tumpuan kepada dua projek Bitara MADANI iaitu usaha menaik taraf fasiliti daif di bawah KKM dan memperluas pelaksanaan Gerai MADANI.

“Di bawah projek menaik taraf fasiliti, kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menambah baik 436 fasiliti dan klinik kesihatan di bawah KKM dengan sasaran kesemua fasiliti akan memasuki peringkat pelaksanaan menjelang akhir 2023,” kata Perdana Menteri.

Sumber: BERNAMA

The post 70 Klinik Daif Siap Dinaik Taraf Menerusi Inisiatif Bitara Madani – Lukanisman appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*