99 % Pengguna Domestik Tidak Alami Kenaikan Tarif Eletrik Julai-Disember 2023

tarif elektrik domestik

99 % Pengguna Domestik Tidak Alami Kenaikan Tarif Eletrik Julai-Disember 2023

PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) — Pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik berikutan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2023, di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia merangkumi 99 peratus daripada pengguna domestik, di Semenanjung Malaysia.

“Ia bermakna rebat elektrik dua sen/kWJ yang diberikan ketika ini, kekal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Nik Nazmi berkata kerajaan bersetuju menampung kos subsidi elektrik di bawah ICPT bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2023, sebanyak RM5.2 bilion.

Selaras dengan hasrat kerajaan agar subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar mulai bulan hadapan, Nik Nazmi berkata pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan, akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kwJ.

Nik Nazmi berkata dianggarkan seramai 83,000 pengguna atau satu peratus pengguna domestik, akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan sebanyak RM187 atau 25 peratus.

“Bagaimanapun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta, khas untuk kategori ini,” katanya.

Nik Nazmi berkata pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D) dan tarif pertanian spesifik (tarif H,H1 dan H2), tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik dengan surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

“Dalam erti kata lain, perniagaan mikro, kecil dan sederhana termasuk restoran, kedai runcit, bengkel kecil, petani dan pengusaha bakeri juga, tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik,” katanya.

Nik Nazmi berkata kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri, akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen kWj kepada 3.7 sen kWj.

“Keputusan ini selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna,” katanya.

Pengguna bukan domestik iaitu pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri, akan menikmati penurunan surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj atau 28 peratus hingga 35 peratus penurunan sebulan.

“Kerajaan berharap pemberian subsidi ini membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” katanya.

Bagi menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bagi struktur bumbung premis bangunan, Nik Nazmi berkata kerajaan menetapkan untuk melonggarkan syarat di bawah Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Pemasangan Solar PV untuk Kegunaan Sendiri (SelCo).

Antaranya had kapasiti setiap rumah bagi permohonan NEM Rakyat dilonggarkan, berbanding had empat kilowatt (kW) untuk pemasangan satu fasa dan 10kW untuk pemasangan tiga fasa, yang membolehkan pengguna memasang sistem solar berdasarkan kriteria teknikal yang ditetapkan.

Had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah NEM Net Offset Virtual Aggregation (NOVA) turut ditingkatkan daripada 75 peratus kepada 85 peratus, manakala program SelCo juga dibuka untuk permohonan dan penyertaan pengguna voltan tinggi.

Beliau berkata pelaksanaan ketetapan baharu di bawah NEM dan SelCo akan berkuat kuasa mulai 15 Julai berpandukan garis panduan yang akan dikemas kini oleh Suruhanjaya Tenaga.

BACA: MB Dedah Pengguna Boleh Lapor Jalan Rosak Di Selangor Guna Waze, Ini Caranya

Sumber: BERNAMA

The post 99 % Pengguna Domestik Tidak Alami Kenaikan Tarif Eletrik Julai-Disember 2023 appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*