Kuala Lumpur: Benarkah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) turut gagal membayar gaji pemain sejak awal musim ini seperti mana dialami Kuala Lumpur City FC (KL City)?
Situasi semasa membabitkan KDA FC difahamkan saling tak tumpah dengan isu dihadapi KL City apabila pemain tidak menerima gaji sejak awal tahun ini.
Menurut sumber, sebahagian pemain termasuk skuad bawahan masih tidak menerima gaji malah difahamkan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga turut sangkut sejak tahun lalu.
“Memang tak dapat (gaji) dari awal tahun lagi. Kalau nak tahu, potongan KWSP pun sama tak buat dari tahun lepas.
“Paling terkesan pemain-pemain bawah 23 (B-23) yang bergaji kecil ini. Dah lah gaji kecik, duit pun tak pernah merasa.
“Kalau pasukan atas macam Liga Super gaji mereka besar. Mungkin sekali dapat, boleh bertahan untuk beberapa bulan tapi tidak buat pasukan bawahan ini,” kata sumber.
Dakwaan tunggakan gaji babitkan KDA FC ini turut dikuatkan dengan perkongsian luahan hati pertahanan tengah KDA FC, Irfan Zakaria yang mengakui ‘merindui’ gaji yang sudah lama tidak diterimanya.
Di Instagram Story miliknya, Irfan berkongsi satu video pendek yang menanyakan tentang gaji.
“Rindunya dekat gaji. Apa khabar agaknya beliau. Sihat ke? Sakit ke?,” kongsi bekas pemain kebangsaan dan KL City itu.
Untuk rekod, pada bulan lalu pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan bahawa pemain Kedah kini ditekan masalah di luar padang namun beliau tidak menjelaskan secara terperinci masalah dihadapi.
sumber: HM
Terdahulu, KL City menerusi ketua pasukannya, Paulo Josue mengesahkan tidak menerima gaji selama tujuh bulan dari Januari hingga Julai 2024.
Malah, potongan KWSP juga tidak buat sejak tahun lalu yang kemudiannya membawa kepada pendedahan pemalsuan dokumen bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan dari Liga Bolasepak Malaysia (MFL).