Kuala Lumpur: Penyerang muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli bertekad untuk menampilkan aksi cemerlang pada pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di saingan Liga Super dekat Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.
Jelasnya, meskipun ada beberapa pemain yang baru pulang dari panggilan skuad kebangsaan tetapi itu tidak akan menjejaskan persiapan mereka untuk perlawanan itu.
Bagi Haqimi, jika diberikan kesempatan untuk bermain, dirinya akan berikan 100 peratus di dalam padang dan berusaha membantu pasukan serta rakan-rakan mendapatkan kemenangan dalam perlawanan itu.
“Itu satu kelebihan (beraksi di tempat sendiri). Jadi, kami akan melakukan yang terbaik dan kami akan dapatkan tiga mata penting di halaman sendiri.
“Alhamdulillah, saya mendapatkan jaringan semua itu atas kerjasama kesemua pemain di dalam pasukan Kuala Lumpur. Saya perlu tingkatkan lagi prestasi saya untuk membantu pasukan Kuala Lumpur pada tahun ini. Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik.
“Untuk gabungan pemain lama dan baru, saya melihat itu perkara positif. Walaupun Kuala Lumpur kekurangan penyerang, ia tidak terjejas pun prestasi dari perlawanan ke perlawanan. Siapa pun bermain, kami akan melakukan yang terbaik,” katanya.
Pertemuan kedua-dua pasukan pada minggu ini mempunyai cerita tersendiri apabila masing-masing terpalit dengan isu semasa terutama tunggakan gaji namun begitu, kelebihan dilihat ada pada skuad Warga Kota kerana bakal menurunkan barisan pemain utama.
Sementara KDA FC pula, mungkin terpaksa menggunakan ‘pelan B’ kerana pemain skuad utama masih tidak turun menjalani latihan sejak seminggu lalu dan ini mencetuskan kegusaran skuad Sang Kenari tidak akan menampilkan keseluruhan pemain utamanya pada aksi ke-10 Liga Super itu.
sumber: HM
Skuad kendalian Nafuzi Zain mungkin akan menggunakan barisan pemain Bawah 23 tahun (B-23) untuk perlawanan Sabtu ini.