Akaun Bank Lebih RM39 Juta Dibeku Untuk Siasatan Seleweng Dana Negara

Akaun Bank Lebih RM39 Juta Dibeku Untuk Siasatan Seleweng Dana Negara

Akaun Bank Lebih RM39 Juta Dibeku Untuk Siasatan Seleweng Dana Negara

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) — Akaun bank berjumlah lebih RM39 juta termasuk milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka telah dibekukan, susulan siasatan penyelewengan dana negara berjumlah anggaran RM2.3 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembekuan itu melibatkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Menurut kenyataan SPRM itu, suruhanjaya tersebut turut merakamkan kenyataan dua individu bergelar Tan Sri itu, selain membuat penggeledahan di kediaman serta premis berkaitan, melibatkan bekas menteri kanan dan ahli perniagaan pada Rabu lepas.

“Kesemua mereka telah diserahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), bagi tindakan tersebut.

“Susulan itu beberapa dokumen berkaitan kes telah diperolehi,” menurut kenyataan SPRM itu, yang kini sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana negara itu.

Pada 19 Mei lepas, seorang bekas menteri kanan dan seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri, dilaporkan disiasat SPRM mengikut Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001 berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.

Sumber berkata siasatan itu kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada hari sama dilaporkan sebagai berkata siasatan bertumpu pada Seksyen 23 Akta SPRM 2009, berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

BACA: Ingatkan Makanan Barat, “Chicken Chop” Sebenarnya Berasal Dari Malaysia, Ini Kisahnya

Sumber: Bernama

The post Akaun Bank Lebih RM39 Juta Dibeku Untuk Siasatan Seleweng Dana Negara appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*