Amirudin Angkat Sumpah MB Selangor Bagi Penggal Kedua

Amirudin Angkat Sumpah MB Selangor

Amirudin Angkat Sumpah MB Selangor Bagi Penggal Kedua

KLANG, 21 Ogos (Bernama) — Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini secara rasmi dilantik sebagai Menteri Besar negeri ini bagi penggal kedua.

Amirudin, 43, mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini kira-kira pukul 11.23 pagi.

Turut berangkat pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Amirudin yang pernah diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya, dilantik ke jawatan itu selepas PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Ogos lalu.

Baki 22 kerusi lagi diperoleh Perikatan Nasional (PN).

BACA JUGA: Sanusi Selesai Angkat Sumpah MB Kedah

Pada PRN lepas, Amirudin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua selama empat penggal berturut-turut sejak mula bertanding di kawasan itu pada 2008.

Beliau menang dengan majoriti 5,185 undi dengan memperoleh 19,678 undi menewaskan calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas Suman Gopal (430 undi).

Naib Presiden PKR itu mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun 2018.

Dilahirkan pada 8 Feb 1980 di Pontian, Johor, Amirudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

Sumber: BERNAMA

The post Amirudin Angkat Sumpah MB Selangor Bagi Penggal Kedua appeared first on Siakap Keli.

CopyAMP code

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*